Berita UtamaDunia

Iran gagalkan serangan dron di kem tentera

3 dron dikenal pasti, dua terperangkap dalam sistem pertahanan

TEHRAN, 8 Rejab 1444H, Isnin – Kementerian Pertahanan Iran menggagalkan serangan dron ke atas kem tenteranya di wilayah Isfahan, selatan, Tehran.

Tiga dron telah dikenal pasti dan terlibat dalam serangan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kementerian dalam kenyataan memaklumkan, sebuah dron berjaya dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara manakala dua lagi terperangkap dalam sistem perangkap pertahanan negara.

Bagaimanapun kesan dron hanya menyebabkan kerosakan kecil di bumbung kem tentera berkenaan.

Sementara itu Menteri Luar Iran, Hossein Amir – Abdollahian menyifatkan insiden pengecut itu adalah percubaan untuk menggugat kestabilan negara.

Namun, tegas Hossein insiden berkenaan tidak akan memberi kesan dan melemahkan niat Iran terhadap program nuklear.

Dalam pada itu, jurucakap Pentagon, Briged Jeneral Patrick Ryder berkata, tentera Amerika Syarikat (AS) tidak memainkan peranan dalam serangan tersebut namun enggan membuat spekulasi lebih lanjut.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak berhubung program nuklear Iran dan bekalan senjatanya kepada perang Rusia-Ukraine.

Wilayah Isfahan adalah bandar yang menempatkan pangkalan udara yang besar selain beberapa tapak nuklear, termasuk Natanz, yang merupakan pusat program uranium Iran. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button