Lantik anak, isteri bakal jadi kebiasaan tadbir urus kerajaan?
Radzi tempelak pihak pertahan lantikan Nurul Izzah

BANGI, 8 Rejab 1444H, Isnin – Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menempelak pihak yang menggunakan hujah Nurul Izzah Anwar tidak menerima gaji atau elaun bagi mempertahankan pelantikan sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
“Ada yang menyatakan bahawa Nurul Izzah bukan terima gaji pun sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada ayahnya di Kementerian Kewangan. Jadi, apa salahnya?
“Sekiranya itu hujah yang digunakan, adakah bermakna selepas ini Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri boleh melantik anak isteri mereka sebagai penasihat tanpa gaji di kementerian masing-masing atas pelbagai justifikasi?” soal Ahli Parlimen Putrajaya itu.
Naib Presiden Bersatu itu turut mempersoalkan sama ada pelantikan ahli keluarga pemimpin negara ke sesuatu jawatan akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan ketika ini.
“Adakah ini akan menjadi kebiasaan baharu dalam tadbir urus kerajaan?” soalnya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan anaknya, Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan beliau.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau mempelawa anaknya itu untuk jawatan tersebut bagi membantunya di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
Menurutnya, begitupun beliau tidak membayar apa-apa elaun kepada Nurul Izzah untuk tugasnya bagi jawatan berkenaan.