Pemimpin PKR pertikai lantikan Izzah, salah dari segi moral
MP Pasir Gudang kata betul dari segi undang-undang tapi...

BANGI, 8 Rejab 1444H, Isnin – Pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri bukan sahaja dikecam parti lawan, bahkan turut dipertikai pemimpin parti itu sendiri.
Ahli Parlimen PKR-Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, walaupun lantikan itu tidak menyalahi undang-undang tetapi ia salah dari segi moral.
“Seorang sahabat yang merupakan penyokong PH bertanya kepada saya:
‘Apakah pandangan saya apabila Anwar melantik anaknya Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri?’
“Maka, jawapan saya ringkas sahaja dalam bahasa asing iaitu ‘legally right but morally wrong‘ (Betul dari segi undang-undang tetapi salah dari segi moral),” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, Anwar mengesahkan anaknya, Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan beliau.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau mempelawa anaknya itu untuk jawatan tersebut bagi membantunya di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
Menurutnya, begitupun beliau tidak membayar apa-apa elaun kepada Nurul Izzah untuk tugasnya bagi jawatan berkenaan.
Pautan berkaitan;
Ramai lagi pakar ekonomi, Anwar tak patut lantik anak sendiri
https://ismaweb.net/2023/01/30/anwar-amal-nepotisme-utamakan-kroni-jawatan-utama-negara/