Berita Utama

Protes secara senyap mungkin berlaku dalam UMNO

Beri kesan besar, hilang sokongan pada pilihan raya akan datang

BANGI, 8 Rejab 1444H, Isnin –Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membayangkan kemungkinan berlaku penentangan dan protes secara senyap dalam UMNO susulan pemecatan dan penggantungan pemimpin parti itu, baru-baru ini.

Bahkan katanya, tindakan penggantungan ahli UMNO secara besar-besaran sudah tentu mengakibatkan kehilangan besar sokongan kepada parti itu pada pilihan raya akan datang.

Naib Presiden PAS itu berkata, mungkin ramai ahli yang masih kekal dalam parti ada hubungan dengan pemimpin dikenakan tindakan itu.

“Mereka inilah bakal memprotes secara senyap kepada parti,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Panchor  itu menyifatkan apa yang dilakukan Presiden UMNO adalah tindakan yang drastik, namun tindakan berkenaan dilakukan demi kepentingan tertentu.

“Bagi saya ia merupakan masalah dalaman UMNO dan itu hak yang ada pada parti untuk mengambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Ia susulan pelanggaran disiplin mengikut perlembagaan parti itu kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, MKT UMNO turut menggantung beberapa ahlinya, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button