Rakyat tak mahu pemimpin kejar populariti
Patut ketengahkan pemimpin muda ada idea majukan Malaysia 10 tahun ke depan

BANGI, 8 Rejab 1444H, Isnin – Ramai tertanya-tanya sama ada pemecatan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar dalam UMNO adalah penamat kepada kerjaya politik kedua-dua individu atau sebaliknya.
Walaupun penyingkiran bekas Ketua Pemuda UMNO serta bekas Pengerusi UMNO Selangor itu bukan perkara baharu, timbul persoalan adakah mereka juga akan menjadi pemimpin nombor satu negara.
Itu tidak mustahil memandangkan beberapa pemimpin UMNO sebelum ini antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dipecat daripada parti itu dan akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri.
Bagi Timbalan Presiden BERJASA, Datuk Mohd Rosli Ramli, perkara tersebut bukan sesuatu yang dimahukan namun negara memerlukan pemimpin muda yang berwibawa dan ada idea untuk bawa Malaysia 10 hingga 20 tahun ke depan.
“Apakah KJ atau Noh Omar akan ‘repeat’ ‘formula’ ini?
“Saya tidak mahu. Carilah muka baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Selain itu, beliau berkata, negara tidak memerlukan pemimpin yang kejar populariti dan bukan juga yang pandai bercakap sewaktu berkempen.
“Bila pimpin negara ini, kita bercakap soal beban ekonomi rakyat, soal keselamatan negara yang tak kukuh, soal pembangunan perumahan yang semakin ‘dipadatkan’, soal hubungan antarabangsa yang perlu kembali menjadi rimau,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat seramai 42 ahli parti daripada beberapa negeri.
Ia melibatkan lima orang ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua orang ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli UMNO dari Pahang.