Berita Utama

Ramai akan tinggalkan UMNO selepas ini

‘Mujurlah hakim negara tak boleh dipecat, jika tidak semua kena pecat’

BANGI, 8 Rejab 1444H, Isnin – Datuk Zahidi Zainul Abidin mendedahkan, ramai pemimpin UMNO akan berhijrah meninggalkan parti itu termasuk dirinya bagi menyertai PKR, dalam masa terdekat.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, sikap tidak puas hati dengan pendekatan Presiden UMNO membersihkan parti tanpa prosedur tepat menyebabkan ramai mengambil keputusan meninggalkan UMNO dan mengikut jejak langkahnya.

“Saya bakal menyertai PKR secara rasmi pada 4 Februari ini bersama 100 ahli UMNO Bahagian Padang Besar, dijangka banyak cawangan parti itu di Padang Besar yang bakal terbubar kelak.

“Ramai orang tanya saya macam mana hendak masuk PKR, termasuk sebilangan pemimpin UMNO Pusat.

“Ada juga antara mereka hendak masuk Perikatan Nasional (PN). Ini semua sebab mereka tidak bersetuju dengan cara presiden,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau pada masa sama menyindir tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memecat pemimpin UMNO tidak sehaluan dengannya, semata-mata untuk menjamin kedudukan sebagai Presiden.

“Mujurlah hakim-hakim di negara ini tidak boleh dipecat Zahid, jika tidak dengan mereka semua pun kena pecat kerana tidak menyokong beliau,” katanya.

Zahidi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) bertanding sebagai calon bebas selepas dipecat UMNO pada November lalu.

Bagaimanapun, beliau gagal mempertahankan kerusi Padang Besar, dengan hanya memperoleh 1,939 undi dan kehilangan deposit dalam pertembungan lima penjuru yang dimenangi oleh Rushdan Rusmi daripada PN.

Jumaat lalu, UMNO memecat bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdanpula digantung keahlian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button