Berita UtamaIstimewa

Ramai lagi pakar ekonomi, Anwar tak patut lantik anak sendiri

Sukar diterima, jelas nampak tadbir urus tidak baik

BANGI, 8 Rejab 1444H, Isnin – Meskipun pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri sah dari segi undang-undang dan secara pro bono – tanpa sebarang bayaran – hakikatnya situasi ini tidak harus berlaku.

Kedua-dua hujah tersebut tidak menafikan dua perkara iaitu secara tadbir urus ia tidak betul, bahkan amat bertentangan dengan apa yang dilaungkan selama ini oleh PKR dan Pakatan Harapan (PH) secara umum.

Pakar Kewangan Islam, Prof Madya Dr Aznan Hasan berpendapat, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dijustifikasikan dengan pelbagai hujah serta alasan, rakyat mungkin boleh terima walaupun ia sesuatu perkara berat.

Bagaimanapun berhubung pelantikan anak Ahli Parlimen Tambun itu ketika ini, ia amat sukar diterima dalam apa jua justifikasi dan alasan.

“Rakyat masih boleh lagi menunggu polisi-polisi besar yang baik. Pada hakikatnya sehingga kini, tiada yang dapat dilihat boleh memberi impak yang besar. Rafizi Ramli yang terkenal dengan pelbagai formulanya sebelum inipun, nampaknya belum mengemukakan sesuatu yang berimpak besar.

“Kata beliau, memerlukan masa. Rasanya rakyat masih boleh menunggu, walaupun seperti mana kata Tan Sri Dr Rais Yatim jangka masa menunggu rakyat Malaysia biasa tak lama, hanya lima atau enam bulan.

“Selepas itu, mereka akan mula bertindak. Ini tidak bermakna saya tidak menghargai beberapa polisi-polisi kecil yang baik, yang diisytiharkan. Namun polisi impak besar pada hakikatnya belum ada lagi. Rakyat masih boleh menunggu. Tetapi untuk pelantikan sebegini, pada saya, tiada sebarang justifikasinya,” katanya.

Justeru, Aznan menegaskan rakyat tidak patut berdiam diri dalam isu ini kerana permulaan sebegini yang akan membawa kepada perkara yang lebih besar, secara sedikit demi sedikit.

Ini juga yang berlaku kepada kerajaan sebelum ini, katanya.

“Saya berpandangan perlantikan tersebut tidak sepatutnya dilakukan, disebabkan antaranya, dua sebab tersebut. Tambahan pulak, rasanya kita mempunyai ramai pakar yang boleh menjalankan tugas tersebut.

“Bahkan rasanya kita ada ramai pakar yang berkecenderungan politik PH dan PKR. Paling kurang, lantiklah mereka, bukannya anak sendiri. Sekarang, Perdana Menteri adalah Menteri Kewangan dan penasihat beliau adalah anak beliau. Jelas dari segi ‘good governancenya’ tidak baik.

“Kita perlu menyuarakan agar perkara sebegini tidak menjadi suatu kebiasaan yang merosakkan,” katanya.

Sebelum ini, ramai pihak mempertikaikan lantikan itu kerana Nurul Izzah hanya mempunyai kelulusan berkaitan kejuruteraan dan bukannya dalam bidang kewangan.

Bagaimanapun Anwar berkata, pihak yang mempertikaikan kelayakan akademik anaknya itu mungkin tidak teliti.

Menurutnya, beliau sendiri tidak mempunyai kelulusan dalam bidang kewangan tetapi menjadi pernah menteri kewangan selama lapan tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button