Berita UtamaDunia

Turkiye beri bayangan Finland jadi ahli NATO tanpa Sweden

Gesa nyatakan sokongan pada Ankara tentang keganasan

ANKARA, 8 Rejab 1444H, Isnin – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memberi gambaran meluluskan permintaan Finland untuk menjadi ahli anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tanpa penyertaan Sweden.

Ketika berucap di wilayah Bilecik, barat laut Turkiye, Erdogan berkata, kemungkinan Ankara akan bertindak balas secara berbeza dengan Finland sehingga menyebabkan Sweden terkejut.

Erdogan berkata, Turkiye telah menghantar senarai 120 pengganas kepada Sweden untuk diekstradisi sambil menambah negara Nordic itu mesti mengekstradisi semua kumpulan pengganas berkenaaan bagi membolehkan negaranya menyertai NATO.

Kenyataan tersebut merupakan pertama kali yang disuarakan Erdogan dengan menyatakan Ankara boleh menilai keanggotaan Finland dan Sweden menerusi pendekatan berbeza.

Sebelum ini, Turkiye telah menangguhkan pertemuan tiga hala dengan Sweden dan Finland mengenai tawaran NATO mereka.

Ia sepatutnya dijadualkan pada Februari berikutan pembakaran naskhah al-Quran di Sweden.

Mei tahun lalu, Sweden dan Finland mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai NATO.

Bagaimanapun Turkiye yang merupakan ahli NATO membantah dengan alasan sokongan kedua-dua negara itu terhadap pengganas Kurdish dan penentang politik.

Sebulan kemudian, Turki, Sweden dan Finland berjaya mencapai memorandum persefahaman (MoU) menjelang sidang kemuncak NATO yang diadakan di Madrid, Sepanyol.

Dalam MoU berkenaan, Erdogan bersetuju untuk menarik balik kuasa vetonya ke atas bidaan NATO oleh Finland dan Sweden.

Namun sebagai balasan, kedua-dua negara itu perlu berjanji untuk menyokong perjuangan Türkiye menentang keganasan dan menangani permintaan pengusiran atau ekstradisi yang belum selesai terhadap pengganas dengan cepat dan teliti.

Sehingga kini, Parlimen Turki belum meratifikasi kedua-dua permohonan negara itu untuk menjadi ahli NATO dengan alasan masih belum memenuhi permintaan Türkiye. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button