Berita Utama

‘Sebab digantung tak dinyata dalam surat rasmi’

Hishammuddin sahkan terima surat keputusan MKT UMNO

BANGI, 9 Rejab 1444H, Selasa – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengesahkan sudah menerima surat rasmi berhubung penggantungan keahliannya di dalam UMNO.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, surat rasmi bertarikh 30 Januari itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab tindakan penggantungan dikenakan ke atasnya.

“Baru sahaja terima surat rasmi bertarikh semalam berhubung penggantungan keahlian UMNO saya.

“Tiada sebab penggantungan dinyatakan,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook, hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Hishammuddin turut memuat naik surat berkenaan yang hanya menyatakan keputusan mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bertarikh 27 Januari lalu.

Surat itu menyatakan bahawa Hishammuddin digantung hak-hak keahlian di dalam parti di bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Katanya, penggantungan itu berkuat kuasa selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan MKT UMNO.

Salinan surat yang ditandatangani Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan itu turut dihantar kepada Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor dan Setiausaha UMNO Bahagian Sembrong.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button