Berita Utama

UMNO bukan lagi sandaran orang Melayu perjuang nasib bangsa

Tak lagi relevan selagi jawatan Presiden tak dipertanding

BANGI, 10 Rejab 1444H, Rabu – Orang Melayu kini telah mempunyai alternatif lain dalam membela nasib bangsa dan agama termasuk memperjuangkan isu-isu Melayu.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, mereka tidak lagi menganggap bahawa isu tersebut tidak akan dibela tanpa ada UMNO dan orang Melayu sudah mencari wadah lain yang boleh memperjuangkannya.

Dek kerana itu, untuk memastikan UMNO terus kekal relevan, parti ini perlu mengambil tindakan dengan membuka pertandingan di setiap peringkat terutamanya jawatan Presiden.

“Kalau yang menang itu Zahid, Zahid lah, tapi kena ada mandat sebab tanpa mandat daripada ahli.

“Bagaimana kita nak jelaskan kepada rakyat terutama orang Melayu bahawa kita mahu bawa perubahan?

“Sedangkan orang Melayu sekarang ini pun kata ‘alah kalian pun tak berani nak adakan pemilihan untuk Presiden dan Timbalan Presiden, tak berani nak bawa perubahan, tak berani nak beri hak kepada ahli untuk memilih pemimpin, apa perubahan yang kalian katakan’?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika muncul di program bual bicara yang dianjurkan portal berita tempatan.

Sementara itu, Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mengakui beliau tidak merajuk dengan parti tersebut walaupun telah disingkirkan.

Jelas Khairy, ramai rakan-rakan seperjuangannya masih berada di dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Malah, ramai dalam kalangan mereka mempertahankannya dan bersuara tidak bersetuju dengan pemecatan tersebut.

Jumaat lalu, Khairy antara beberapa pemimpin yang dipecat termasuk Tan Sri Noh Omar.

Susulan pemecatannya, Khairy giat tampil di media bagi memperjelas isu membabitkan UMNO serta tawaran beberapa parti lain agar beliau menyertai parti mereka.

Namun, bekas Menteri Kesihatan itu masih belum membuat sebarang keputusan tetapi telah memberi petunjuk akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor nanti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button