Berita Utama

Beku akaun parti lawan bermotif politik?

Sengaja beri persepsi PN ada masalah integriti, kestabilan

BANGI, 11 Rejab 1444H, Khamis – PAS menganggap langkah kerajaan campuran menggunakan agensi pihak berkuasa untuk membeku akaun parti lawan hanya bertujuan politik semata-mata.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoal sama ada tindakan membeku akaun parti Bersatu mempunyai niat lain dengan harapan dapat melemahkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Tindakan ini sengaja dibuat untuk menggambarkan kepada rakyat nak bina satu persepsi PN ada masalah integriti dan kestabilan.

“Yang disasarkan bukan penyelewengan, insyaAllah penyelewengan tidak akan berlaku tapi sasarannya sekurang-kurangnya nak bagi rasa takut PN khususnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Langkah ini akan menyebabkan kesulitan dalam menguruskan pentadbiran parti tersebut dan PAS juga sebelum ini pernah berdepan situasi sama dihadapi Bersatu,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Katanya, tindakan berniat jahat itu akan menyusahkan parti tersebut dan PAS sendiri pernah alami benda yang sama sebelum ini.

“Saya fikir ini asas kepada sokongan rakyat kepada PN, mereka akan usaha supaya3 integriti itu dapat dirosakkan, tak ada isu pun sebenarnya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim memberi jaminan PAS akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan SPRM berhubung siasatan yang dijalankan agensi tersebut.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan beberapa akaun Bersatu dibekukan bagi membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).

Katanya, akaun parti berkenaan3 dibekukan pihak berkuasa sejak dua minggu lalu bagi memudahkan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut, dipercayai melibatkan lebih RM300 juta.

Pembekuan akaun berkenaan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button