Berita Utama

Saman projek HSR: Tun M, Muhyiddin diarah fail pembelaan

Diberi masa sehingga 28 Februari, 30 Mac pengurusan kes

BANGI, 11 Rejab 1444H, Khamis – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan dua bekas Perdana Menteri dan tiga individu memfailkan penyataan pembelaan dalam saman penamatan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Selain Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga lagi terlibat adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Mustapa Mohamed dan bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee ka Siong.

Kesemua diarah memfailkan penyataan pembelaan selewat-lewatnya 28 Februari ini.

Peguam kepada Mohd Hatta, Mohaji Selamat mengesahkan arahan itu dibuat ketika pengurusan kes terbabit di hadapan Timbalan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, hari ini.

“Mahkamah juga memutuskan 28 Mac ini bagi Mohd Hatta sebagai plaintif memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan, selain 30 Mac untuk pengurusan kes seterusnya,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

30 Disember lalu, Mohd Hatta Sanuri, 47, memfailkan tindakan undang-undang yang memohon perintah mahkamah untuk memulihkan projek itu serta menuntut lima defendan membayar pampasan RM1 juta kepada setiap warganegara negara ini.

Mohd Hatta juga mendakwa, Muhyiddin cuai dan melakukan salah laku awam apabila pentadbirannya menamatkan projek HSR pada 1 Januari 2021, menjadikan negara bertanggungjawab membayar pampasan selanjutnya sebanyak RM320 juta mengikut perjanjian dua hala dimeterainya.

Dia menamakan pihak terbabit selaku defendan pertama hingga kelima atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan cuai berhubung penamatan projek HSR.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos ditanggung bagi pembangunan projek HSR serta berkaitan pelanjutan penggantungannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button