
PESHAWAR, 12 Rejab 1444H, Jumaat – Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak dalam kejadian bas penumpang bertembung dengan sebuah treler, di daerah Kohat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
“Kami telah memindahkan semua mangsa yang terkorban dan cedera ke hospital di Kohat,” kata pegawai penyelamat, Rehmat Ullah.
Rakaman televisyen menunjukkan imej bas yang musnah.
Ketua Menteri sementara di wilayah berkenaan, Azam Khan melahirkan rasa dukacita dan kesedihan mendalam susulan kemalangan tragis itu.
Kemalangan maut adalah perkara biasa di Pakistan disebabkan infrastruktur jalan yang lemah dan pengabaian undang-undang jalan raya.
Ahad lalu, sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh apabila bas dinaiki mereka terbakar selepas terjunam dalam gaung di barat daya Pakistan. – Agensi