Berita Utama

Fatwa larang sertai ritual agama lain tak bercanggah konsep Bangsa Johor

Sultan Ibrahim titah penganut agama lain turut hormati sensitiviti umat Islam

JOHOR BAHRU, 12 Rejab 1444H, Jumaat – Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam yang akan diwartakan kerajaan negeri dalam masa terdekat tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara agama.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, fatwa itu hanya melarang umat Islam daripada mengambil bahagian dalam ritual agama lain.

“Ia adalah garis panduan untuk mereka (umat Islam). Mereka masih boleh menghadiri majlis perayaan agama lain.

“Agama lain juga mesti menghormati sensitiviti umat Islam. Ia adalah jalan dua hala. Kita mesti peka terhadap kewajipan agama masing-masing untuk berbaik-baik,” titah baginda dalam satu kenyataan, hari ini.

Baginda turut menegaskan konsep Bangsa Johor yang diperkenal negeri ini meraikan kepelbagaian kaum dan agama yang dianuti rakyat berbilang kaum.

Selain itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa semua agama menekankan nilai-nilai murni seperti belas kasihan, hormat-menghormati, toleransi, kesederhanaan dan kebaikan.

Justeru, titah baginda, rakyat negara ini harus memberi tumpuan terhadap nilai-nilai bersama itu dan bukannya perbezaan kaum atau agama satu sama lain.

“Saya harap dengan penjelasan ini, kita dapat menghentikan sebarang kekeliruan mengenai fatwa baharu itu kerana hanya menjelaskan perkara yang dibenarkan kepada umat Islam dan dilarang dalam Islam.

“Jika masih keliru, sila berjumpa Mufti negeri untuk penjelasan lanjut,” titah baginda.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan kerajaan negeri bakal mewartakan fatwa untuk umat Islam menghadiri perayaan dan upacara ritual masyarakat bukan Islam, bermula minggu depan.

Beliau berkata, umat Islam dibenarkan untuk memenuhi undangan majlis keraian sesuatu perayaan bukan Islam, namun tidak boleh terlibat dengan upacara ritual berkaitan dengan agama itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button