Shahrir takkan tanding jawatan Ketua UMNO Johor Bahru
Mahu beri fokus kepada urusan peribadi

JOHOR BAHRU, 13 Rejab 1444H, Sabtu – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad tidak akan bertanding mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru pada pemilihan parti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memaklumkan perkara itu berkata, UMNO Johor menghormati keputusan Shahrir.
“Itu bermakna beliau tidak lagi dalam perhubungan UMNO Johor selepas ini. Maka kita ucapkan terima kasih dan hargai sumbangan beliau selama ini dalam UMNO Johor,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor, hari ini.
Menjelaskan keputusan itu, Shahrir berkata, keputusan tersebut dibuat bagi membolehkannya memberi fokus kepada urusan peribadi.
“Ini membolehkan saya jadi ‘Shahrir’ semula. Sama ada saya masih aktif bersuara di media sosial (Facebook Tok Uban), itu belum tahu lagi,” ujarnya.
Tegasnya, keputusan itu tidak dipengaruhi oleh keputusan mahkamah yang dihadapinya sebelum ini.