Berita UtamaDunia

Tempahan jemaah haji gagal buat bayaran ansuran kedua dibatalkan

Permit jemaah selesai buat pembayaran akan dikeluarkan pada 5 Mei

JEDDAH, 13 Rejab 1444H, Sabtu — Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan pihaknya membatalkan tempahan jemaah haji domestik yang gagal membuat pembayaran ansuran kedua kos pakej haji sebelum tamat tempohnya pada 29 Januari.

Manakala permit haji kepada bakal jemaah haji yang telah membuat pembayaran penuh melalui platform ‘Absher’ akan dikeluarkan mulai 5 Mei (15 Syawal).

Tarikh akhir pembayaran ansuran kedua telah tamat pada 29 Januari (7 Rejab) manakala tarikh akhir untuk ansuran ketiga ialah 30 April (10 Syawal).

Kementerian juga menyatakan bahawa pilihan pembayaran sebahagian kos pakej tidak tersedia selepas 26 Januari.

Berhubung calon jemaah haji yang tempahannya dibatalkan kerana tidak membayar ansuran kedua, kementerian berkata, mereka boleh menempah semula pakej selagi slot masih ada.

Tempahan akan disediakan untuk jemaah haji domestik melalui laman web kementerian dan aplikasi Nusuk sehingga 25 Jun (7 Dzul Hijjah) atau sehingga kuota yang diperuntukkan untuk jemaah domestik tahun ini selesai.

Menurut kementerian itu, hanya warga Arab Saudi yang memegang identiti negara yang sah atau ekspatriat dengan permit pemastautin (iqama) yang sah dibenarkan menunaikan haji tahunan.

Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan permit haji kepada mereka yang telah menyelesaikan semua prosedur yang diperlukan, termasuk pembayaran penuh kos pakej haji.

Pemohon hendaklah mencetak permit daripada platform ‘Absher’, mulai 5 Mei. Selepas itu, mesej teks yang mengandungi nombor permit akan dihantar kepada pemohon.

Jika mana-mana pemohon ingin membatalkan tempahan, dia boleh mengikuti semua butiran prosedur pembatalan dan polisi pemulangan wang dari halaman utama laluan elektronik untuk jemaah haji domestik dan memilih pilihan untuk membatalkan tempahan untuk jemaah haji domestik untuk Musim Haji 1444, tambah kementerian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button