Berita Utama

Beku akaun: Bersatu akan ambil tindakan undang-undang

Tak perlu perinci sumber wang diterima, biar SPRM siasat: Faizal Azumu

BANGI, 14 Rejab 1444H, Ahad — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika permohonan membatalkan perintah pembekuan akaun tidak diluluskan.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima perkembangan lanjut, susulan permohonan pembatalan perintah itu yang dihantar Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya pun tak pasti sama ada parti sudah tulis surat atau belum, walaupun pastinya surat berkenaan akan dibuat dalam kadar segera.

“Waktu ini hujung minggu. Mungkin minggu depan kita akan dapat tahu jawapan dari SPRM.

“Tentunya perkara-perkara seperti ini saluran perundangan akan kami bincangkan dengan pucuk pimpinan, termasuk bersama Presiden untuk tindakan sewajarnya,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, pembekuan akaun oleh SPRM memberi kesan sangat besar kepada Bersatu.

Beliau berkata, pemimpin parti itu tidak perlu mengumumkan secara terperinci sumber wang yang diterima Bersatu hingga membawa kepada pembekuan akaun dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM bagi menjalankan siasatan.

“Saya sudah jawab tetapi saya fikir tidak perlu lagi saya jawab secara terperinci kerana tentunya pihak berwajib iaitu SPRM akan siasat,” katanya.

Rabu lalu, SPRM mengesahkan membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button