Berita Utama

Kabinet Bayangan langkah ke arah perkasa demokrasi negara

Peranan kementerian lebih berkesan bila ada rakan seperjuangan dari pembangkang

BANGI, 14 Rejab 1444H, Ahad — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan pembentukan Kabinet Bayangan akan memberikan peranan lebih berkesan apabila memiliki rakan seperjuangan daripada blok pembangkang.

Katanya, persidangan Parlimen akan datang bakal menyaksikan perbincangan sama ada Kabinet Bayangan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen Perikatan itu perlu diktiraf secara rasmi oleh kerajaan berlandaskan demokrasi matang.

“Memandangkan sudah ada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) menghimpunkan Ahli Parlimen daripada parti pemerintah dan pembangkang, ‘Kabinet Bayangan’ adalah langkah yang dialu-alukan ke arah memperkasa demokrasi di negara ini.

“Dalam mesyuarat Parlimen akan datang, akan ada mesyuarat rasmi dengan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen, sama ada kita patut mengiktiraf mereka secara rasmi.

“Saya sentiasa percaya bahawa Ahli Parlimen pembangkang harus menjadi sebahagian daripada PSC. Biar Ketua Whip membincangkannya dengan lebih lanjut,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Menerusi Kabinet Bayangan itu, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid akan membayangi portfolio Salahuddin.

“Saya mengalu-alukan Datuk Rosol Wahid membayangi saya dan terbuka dengan pihak pembangkang.

“Lebih banyak penglibatan kerajaan dengan pembangkang dan rakyat adalah baik untuk kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya,” kata Salahuddin lagi.

Beliau yang pernah menjadi ahli Parlimen pembangkang memberi gambaran mengenai keperluan mengenai pembentukan Kabinet Bayangan.

“Saya pernah jadi pembangkang sebelum ini, kemudian kerajaan kembali kepada pembangkang dan kembali kepada kerajaan semula.

“Saya faham kepentingan melibatkan pembangkang, ia akan membantu dalam urusan kementerian yang ada kaitan dengan kepentingan utama rakyat.

“Jadi, perlu ada perbincangan terbuka antara kita dan pembangkang kerana kita semua adalah wakil rakyat,” katanya.

Pada 2 Februari lalu, pembangkang melancarkan Kabinet Bayangannya dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai barisan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button