Kerjasama BN-PH: Mudarat ringan Zahid tak ikut syarak
Tidak meliputi 5 perkara, hanya untungkan UMNO: Presiden BERJASA

BANGI, 14 Rejab 1444H, Ahad – Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim mengingatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak cuba untuk mengeksploitasi istilah syarak demi kepentingan politik UMNO-Barisan Nasional (BN).
Ini susulan kenyataan Presiden UMNO itu yang menyifatkan kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai mudarat ringan, berbanding dengan Perikatan Nasional (PN).
Justeru, Zamani yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) mempersoalkan, benarkah kenyataan Ahmad Zahid itu berlandaskan kepada syarak atau semata-mata kerana parti.
“Sebab kita mesti melihat satu benda itu, ukurlah dengan syarak untung ruginya. Mudarat ringan itu mudarat ringan siapa?
“Kalau ringan kepada agama, yes. Tapi betulkah ringan kepada agama? Kalau sekiranya untung rugi itu memberikan kepada untung rugi parti, ia tidak kena,” katanya.
Zamani berkata, mudarat yang diambil kira di bawah kaedah syarak perlu merangkumi lima perkara utama iaitu agama, nyawa, harta, keturunan dan akal.
“Tidak sebut pun pada parti. Jadi, macam Zahid mengatakan (mudarat) ringan itu sesuai dengan kaedah syarak, mudarat ringan itu tak kena pun pada salah satu daripada lima tadi.
“Tetapi yang jelas ia ringan kepada UMNO, untung kepada UMNO. Zahid jangan guna istilah mudarat ringan,” katanya.