Berita UtamaDunia

Pakistan perkenal RUU larang rakyat kritik tentera, badan kehakiman

Boleh berdepan penjara hingga 5 tahun, denda lebih RM15,000

ISLAMABAD, 14 Rejab 1444H, Ahad — Pakistan telah memperkenalkan undang-undang baharu yang menetapkan hukuman penjara sehingga lima tahun terhadap individu mengkritik atau mempersendakan pasukan tentera atau badan kehakiman negara.

Memetik agensi berita Pakistan, Dawn, rang undang-undang baharu itu telah disemak Kementerian Undang-undang dan Keadilan serta Kementerian Dalam Negeri Pakistan.

Pindaan rang undang-undang itu diperkenalkan ketika kritikan semakin meningkat di laman media sosial terhadap tentera Pakistan dan mahkamah negara berkenaan.

Memetik sumber di Kementerian Dalam Negeri mendakwa, ringkasan dan rang undang-undang itu akan dihantar ke Kabinet dalam masa terdekat.

Rang Undang-undang yang dinamakan Akta Undang-Undang Jenayah (Pindaan), 2023 itu mencadangkan Seksyen 500A baharu di bawah Seksyen 500 dalam PPC 1860.

Menurut laporan, individu yang membuat, menerbitkan, mengedar sebarang kenyataan atau menyebarkan maklumat melalui mana-mana medium, dengan niat untuk mempersendakan atau menyindir badan kehakiman, angkatan tentera atau mana-mana anggota boleh dihukum.

Mereka yang didapati bersalah boleh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda lebih RM15,000 atau kedua-duanya sekali.

Malah, rang undang-undang selanjutnya menyatakan pesalah akan ditangkap tanpa waran dan kesalahan itu tidak boleh diikat jamin dan tidak boleh dikompaun, namun boleh dicabar di mahkamah sesyen. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button