UMNO perlu berubah jika tak mahu ditolak rakyat selamanya
Ismail Sabri sifatkan tindakan pecat, gantung pemimpin langkah ke belakang

BANGI, 14 Rejab 1444H, Ahad — UMNO perlu melakukan perubahan drastik agar parti itu tidak terpisah dengan kehendak rakyat terutama golongan muda.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, strategi tersebut perlu dirangka berikutan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengelak pengundi menolak UMNO selama-lamanya.
Beliau berkata, UMNO perlu ada imej dan tawaran baharu yang tidak mengetepikan golongan muda memandangkan mereka juga akan beralih ke saluran tiga dan empat kelak.
“Jadi kalau kita tidak ubah, waktu mereka saluran lima dan enam sudah tolak kita, apabila mereka pindah ke saluran tiga atau empat, mereka tetap tolak kita. Jangan lupa kita akan ada pengundi baru saluran lima dan enam.
“Kalau dulu 4.5 juta terus ke saluran tiga dan empat dan ditambah lagi 4.5 juta di saluran lima dan enam ini, makna sembilan juta. Kali ini kita awal lagi kalah, sebab itu saya kata kita perlu harapan,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bera itu menyifatkan tindakan menggantungkan dan pemecatan beberapa pimpinan UMNO sebagai langkah ke belakang.
“Kita memberi petanda yang salah kepada mereka dan menunjukkan UMNO tiada demokrasi, dipecat atau digantung.
“Itulah persepsi mereka buat masa ini kepada UMNO,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan orang muda akan menjauhi UMNO kerana beranggap parti ini menyekat kebebasan golongan berkenaan.