Berita Utama

Gempa bumi: 75 pasukan SMART ke Turkiye malam ini

Proses penghantaran pasukan selepas dapat persetujuan PM

BANGI, 15 Rejab 1444H, Isnin — Kira-kira 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijadualkan berlepas ke Turkiye malam ini bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda Gazientep, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, proses penghantaran pasukan itu dibuat setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Seramai 75 orang anggota akan bertolak ke Turkiye malam ini menerusi penerbangan Turkish Alirlines dengan membawa bersama peralatan yang akan digunakan di dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada tahun 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir juga akan menyertai pelepasan pasukan SMART dan akan mengadakan sidang akhbar berhubung situasi itu.

Awal pagi tadi, gempa bumi berdurasi 75 saat dilaporkan melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia).

Dalam tragedi tersebut, 360 orang disahkan maut manakala 440 lagi cedera meliputi tujuh wilayah di Turkiye dengan lebih 100 buah bangunan runtuh.

Manakala Syria mengesahkan sehingga kini sudah 237 orang terbunuh manakala 516 orang cedera dengan ada mangsa tertimbus di bawah runtuhan rumah sendiri.

Dalam pada itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihak Kedutaan Besar Malaysia di Ankara masih lagi memantau rapi segala perkembangan terkini gempa bumi tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button