Israel tangkap tujuh pejuang Palestin tanpa alasan
Zionis mengganas, ketegangan meningkat di Tebing Barat

JENIN, 15 Rejab 1444H, Isnin — Tentera negara haram Israel menahan seorang anggota kanan kumpulan Jihad Islam Palestin (PIJ) di Tebing Barat yang diduduki awal pagi Ahad.
Agensi berita Palestin, Wafa melaporkan, Khader Adnan – bekas tahanan Palestin – telah ditangkap ketika serbuan Israel di rumah keluarganya di kampung Arraba, barat daya Jenin.
Adnan telah dipenjarakan sekurang-kurangnya 11 kali sejak 2004 dan merupakan jurucakap tahanan Palestin di dalam penjara Israel.
Dia kali terakhir dibebaskan dari penjara Israel pada 2021 selepas 25 hari ditahan.
Adnan – yang dilihat oleh ramai rakyat Palestin sebagai simbol penentangan – melancarkan mogok lapar empat kali ketika tahanan, termasuk satu tempoh yang berlangsung selama 67 hari.
Dia melancarkan mogok lapar pertamanya, yang berlangsung selama 25 hari pada 2004 bagi membantah tindakan ditahan dalam tahanan pentadbiran, satu amalan kontroversi yang membenarkan Israel menahan rakyat Palestin tanpa tuduhan selama enam bulan.
Mogok lapar selama 67 hari Adnan pada 2012 telah memberi inspirasi kepada gelombang tahanan Palestin yang ditahan di bawah tahanan pentadbiran Israel untuk menyertainya.
Tempoh tahanan itu boleh diperbaharui selama-lamanya dan tahanan Palestin akan menghabiskan tempoh bertahun-tahun di penjara tanpa didakwa.
Tentera Israel berkata, tujuh rakyat Palestin telah ditangkap tetapi tidak menyebut nama Adnan dan tidak menyatakan pertuduhan terhadap mereka.
Penahanan Adnan berlaku ketika ketegangan meningkat di Tebing Barat berikutan peningkatan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin sejak awal tahun ini. – Agensi