Ridhuan Tee yakin laporan polis isu murid SJKC tak minat BM hanya wayang
Laporan sebahagian besar murid Cina tak minat subjek bahasa kebangsaan ternyata benar

BANGI, 15 Rejab 1444H, Isnin – Laporan polis oleh kumpulan pendidikan Cina terhadap dakwaan murid di SJKC tidak berminat mempelajari bahasa Melayu hanyalah wayang bagi menunjukkan tindakan itu benar.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee yakin pihak ultra kiasu itu tidak berani untuk mendakwa wartawan terbabit yang menyiarkan laporan berita berkenaan.
“Saya amat yakin ultra kiasu ini tidak berani untuk melakukannya. Laporan polis dibuat sekadar untuk menunjukkan bahawa tindakannya itu benar.
“Kelakar bukan. Buat laporan polis, tetapi tidak mahu teruskan tindakan. Ultra kiasu ini tahu apa masalah sebenarnya, sengaja buat laporan polis untuk menunjukkan bahawa mereka itu betul, laporan itu salah,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net.
Dalam pada itu, beliau menegaskan laporan sebahagian besar murid Cina tidak berminat dengan subjek bahasa kebangsaan ternyata benar.
Menurutnya, ia bukan perkara baharu tetapi sudah lama.
“Bahasa Melayu tidak penting bagi mereka dan tidak menguntungkan. Saya tahulah sebab saya orang Cina.
“Isu bahasa Melayu dan SJKC acap kali saya bangkitkan, tetapi tidak ada tindakan. Kita asyik berpolitik
“Bukan sahaja murid SJKC tidak berminat dan menganggap ia tidak penting. Inilah juga pemikiran pemimpin dan keluarga ultra kiasu.
“Mereka menganggap bahasa Melayu tidak ada nilai, dan tidak berguna mempelajari bahasa Melayu,” katanya.
Justeru, Prof Ridhuan Tee tidak hairan sekiranya golongan berkenaan menentang jika ada tindakan untuk menyeragamkan silibus bahasa Melayu di SK dan SJKC.
Walhal katanya, tahap penguasaan bahasa Melayu Tahun Enam di SJKC seperti Tahun Tiga di SK.
“Tidak cukup dengan itu, ultra kiasu menentang sebarang penambahan waktu untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.
“Ultra kiasu juga menentang, guru bahasa Melayu yang tidak ada asas bahasa Cina. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu mesti gurunya adalah Cina juga. Jika ada guru bahasa Melayu, berbangsa Melayu, guru ini mesti ada asas bahasa Cina.
“Begitulah liciknya ultra kiasu ini. Mereka begitu berani menentang dan mengugut kerajaan, sedangkan ini sekolah kerajaan, bantuan penuh kerajaan, sepatutnya mereka tunduk kepada arahan kerajaan. Malang, ia tidak pernah berlaku,” katanya kesal.
Terdahulu, kumpulan pendidikan Cina dilaporkan mengadakan sidang media murid berhubung dakwaan murid di sekolah Cina (SJKC) tidak berminat untuk mempelajari Bahasa Malaysia.
Mereka juga membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan.
Artikel bertajuk ‘SJKC pupils not keen to learn BM’ diterbitkan oleh New Straits Times pada 18 Januari, manakala edisi bahasa Melayu Berita Harian, menyiarkan pada hari yang sama laporan bertajuk “Murid SJKC tak minat subjek Bahasa Melayu?”.
Menurut mereka, artikel berita itu mengelirukan pembaca, dan ada di antara mereka yang menggesa sekolah vernakular Cina ditutup.