Tuduh PAS rasuah pengundi ibarat ayam telur sebiji, namun berkokok riuh sekampung
Sejak dulu beri khidmat pada rakyat, walau dipulau oleh kerajaan

BANGI, 15 Rejab 1444H, Isnin – Tuduhan kononnya PAS merasuah pengundi ketika pilihan raya adalah terlalu kecil bagi menghadapi orang yang bersedekah, berbanding bantuan secara bermusim atau untuk mencapai matlamat politik semata-mata.
Tanpa menyebut secara terperinci pihak yang dimaksudkan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara sinis berkata, ia laksana ayam yang bertelur sebiji, namun berkokok riuh sekampung.
Katanya, banyak parti yang pernah bekerjasama atau yang sedang bekerjasama dengan PAS menyaksikan betapa hebatnya pengorbanan jentera parti itu yang tidak bermusim dan bertempat tanpa meminta upah daripada manusia.
“Inilah hasil tarbiah yang tidak memisahkan urusan dunia daripada urusan agama yang berwawasan akhirat.
“Perkara ini hanya boleh didapati dalam Islam, tetapi tidak terdapat dalam ideologi ciptaan manusia,” katanya dalam Minda Presiden PAS bertarikh hari ini.
Selain itu, Abdul Hadi berkata, sedekah mempunyai maksud yang luas, tidak terhenti kepada bersifat harta dan barangan, malah termasuk sedekah dari sudut ilmu, khidmat tenaga dan nasihat yang baik sama ada dengan lisan atau tulisan.
Katanya, ahli PAS dalam semua lapangan menghayati perkara tersebut sejak peringkat awal sebelum dan selepas penubuhan parti itu lagi.
Bahkan pembabitan ahli PAS bukan hanya dalam politik dan ketika musim pilihan raya, bukan secara terpilih atau bermusim.
“Pada peringkat awal sebelum penubuhannya dan selepas penubuhannya, para ulama PAS berkhidmat menyebarkan ilmu kepada masyarakat secara percuma, membuka pondok dan sekolah rakyat, serta mengajar di masjid dan surau.
“Terdapat dalam kalangan mereka itu mempunyai taraf ilmu dan pengajian yang sebanding dengan mufti, pensyarah di pusat pengajian tinggi dan pegawai agama di semua peringkat.
“Malah, ada juga daripada kalangan profesional yang berpendidikan Barat, tetap mempertahankan identiti Islam mereka dan juga kalangan yang berkhidmat dengan kerajaan atau swasta, namun tidak meninggalkan khidmat percuma kepada masyarakat,” katanya.
Katanya lagi, begitu juga wakil rakyat PAS sejak dari tahun 1955 lagi, sama ada sebelum merdeka dan selepas merdeka yang tetap memberikan khidmat kepada rakyat, walaupun mereka dipulau oleh kerajaan yang menindas pembangkang.