Ultra kiasu tak pernah anggap bahasa Melayu penting
Kita terlalu berpolitik daripada utamakan pembinaan negara bangsa

ULTRA KIASU mendakwa akhbar perdana mengelirukan orang ramai, dengan membuat kesimpulan bahawa “murid SJKC tidak berminat untuk belajar BM”, hanya berdasarkan naratif dua guru. Guru-guru itu berkongsi kesukaran yang dihadapi oleh pelajar SJKC dalam mempelajari bahasa Melayu.
Ultra kiasu itu kemudian membuat laporan polis di balai polis Daerah Sentul pada 21 Jan lalu terhadap akhbar tersebut dan meminta polis menyiasat isu tersebut mengikut Akta Hasutan.
Bagaimanapun, ultra kiasu itu menjelaskan bahawa mereka tidak berniat untuk mendakwa wartawan terbabit sebaliknya mengingatkan media berkaitan supaya menyedari keseriusan isu itu dan memperbetulkan artikel.
Hebat sekali wayang ultra kiasu ini. Buat laporan polis, tetapi tidak mahu dakwa. Saya cabar, dakwalah, kalau kamu ada telur.
Saya amat yakin ultra kiasu ini tidak berani untuk melakukannya. Laporan polis dibuat sekadar untuk menunjukkan bahawa tindakannya itu benar.
Kelakar bukan. Buat laporan polis, tetapi tidak mahu teruskan tindakan. Ultra kiasu ini tahu apa masalah sebenarnya, sengaja buat laporan polis untuk menunjukkan bahawa mereka itu betul, laporan itu salah
Laporan itu ternyata benar, sebahagian besar murid Cina tidak berminat dengan subjek bahasa kebangsaan ini. Ini bukan perkara baharu, tetapi sudah lama.
Bahasa Melayu tidak penting bagimereka dan tidak menguntungkan. Saya tahulah sebab saya orang Cina.
Isu BM dan SJKC acapkali saya bangkitkan, tetapi tidak ada tindakan. Kita asyik berpolitik
Bukan sahaja murid SJKC tidak berminat dan menganggap ia tidak penting. Inilah juga pemikiran pemimpin dan keluarga ultra kiasu.
Mereka menganggap bahasa Melayu tidak ada nilai, dan tidak berguna mempelajari bahasa Melayu.
Sebab itulah mereka cukup menentang jika ada tindakan untuk seragam silibus bahasa Melayu di SK dan SJKC. Tahap BM darjah enam di SJKC sama seperti BM darjah tiga di SK.
Tidak cukup dengan itu, ultra kiasu menentang sebarang penambahan waktu untuk pengajaran dan pembelajaran BM.
Ultra kiasu juga menentang, guru BM yang tidak ada asas bahasa Cina. Pengajaran dan pembelajaran BM mesti gurunya adalah Cina juga. Jika ada guru BM, berbangsa Melayu, guru ini mesti ada asas bahasa Cina.
Begitulah liciknya ultra kiasu ini. Mereka begitu berani menentang dan mengugut kerajaan, sedangkan ini sekolah kerajaan, bantuaan penuh kerajaan, sepatutnya mereka tunduk kepada arahan kerajaan. Malang, ia tidak pernah berlaku.
Jika tidak percaya, mari kita buat kajian menyeluruh mengenai prestasi murid SJKC terhadap BM di seluruh negara.
Saya bersediakan melakukannya jika persatuan ultra kiasu ini atau kementerian Pendidikan membenarkannya untuk saya mudah masuk ke SJKC
Sedar atau tidak, apabila kajian mahu dilakukan, untuk kita masuk ke SJKC, mereka tidak membenarkannya
Jika tidak percaya, pergilah ke kelas bahasa Melayu di SJKC, tengok guru mereka mengajar. Dari situ kita sudah boleh dapat tahu dengan mudah.
Tidak usahlah nak tunjuk hebat buat laporan polis.
Ramai keluarga Cina dan murid Cina ini yang pesimis dengan kepentingan bahasa Melayu dan mengambil sikap tak acuh atau tidak apa.
Mereka merasakan jika gagal BM konon masih mampu bersekolah di institusi persendirian atau swasta, seperti Sekolah Persendirian Cina dan kolej swasta Cina dan Taiwan. Mereka ada duit. Malah university di Taiwan turut memberikan biasiswa.
Apabila guru bahasa Melayu SJKC Masai, Johor Penny Lim, yang berpengalaman mengajar kira-kira 26 tahun mengakui murid Cina terutamanya sukar untuk menguasai bahasa kebangsaan kerana terpaksa bergelumang dengan kepayahan untuk menguasai kosa kata.
Berdasarkan pengalamannya mendidik, beliau dapati keadaan itu memaksa murid berkenaan mencampur aduk bahasa Cina atau bahasa Inggeris kerana mengalami kesukaran untuk menterjemah sesuatu perkataan.
Tambahnya, keadaan sekitar seperti lokasi sekolah dan kemajmukan masyarakat turut boleh mempengaruhi tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid.
Memang susah sebab penguasaan kosa kata disebabkan banyak perkara mereka tak faham. Kadang-kadang kalau dia nak cakap sesuatu, dia tak dapat nak terjemah. Jadi dia tak tahu macam mana sebut dalam bahasa Melayu.
Kepada saya pandangan Penny Lim ini tidaklah mengejut. Saya sudah bercakap lama. Sebab itu saya dibenci oleh ultra kiasu terutama akhbar mereka. Kenyataan saya selalu dimanipulasikan.
Usah pergi jauh, suruh budak-budak Cina menyanyi lagi Negaraku, di situ sudah cukup untuk membuktikan kemampuan bahasa Melayu mereka.
Siapa yang patut disalahkan kalau bukan semua NGO ultra kiasu ini, termasuk yang membuat laporan polis dan tidak mahu membuat pendakwaan ini
Saudara tahu atau tidak, kenapa lima Sekolah Wawasan yang didirikan di seluruh negara, semasa pemerintahan Dr Mahathir gagal? Matlamat Sekolah Wawasan ini sangat baik. Sekolah ini menggabungkan tiga buah sekolah, paling kurang dua, antara SK/SJKC/SJKT.
NGO ultra kiasu ini yang paling kuat menentang. Mereka memulaukan Sekolah Wawasan, sehingga sekolah gagal.
Ultra kiasu tidak mahu anak-anak Cina bergaul dengan anak-anak Melayu. Jika mereka bergaul, mereka akan berbahasa Melayu, Jika terlalu banyak bahasa Melayu digunakan, ini akan menyebabkan penguasaan bahasa Cina mereka terjejas.
Sebab itu, mereka tidak mahu adanya persekitaran Melayu jika ketiga-tiga sekolah diletakkan di bawah satu kawasan, meskipun operasi hariannya tetap sama.
Inilah proses pencinaan yang telah saya katakan sekian lama, tetapi saya terus dilabelkan sebagai ekstrem dan pengkhianat kepada bangsa Cina, sedangkan saya selalu berkata benar.
Keadaan yang sama dihadapi oleh pelajar Melayu (Islam) yang memilih belajar di SJKC. Memang mereka akan menghadapi masalah untuk bersaing dengan murid Cina, sebab persekitaran di rumah berbeza dengan murid Cina dalam persekitaran Cina.
Jika mahu tahu keadaan sebenar, saya mohon KPM menyediakan sejumlah peruntukan untuk kami melakukan penyelidikan sepenuhnya mengenai SJKC dalam pembinaan negara bangsa. Kajian ini amat penting demi masa depan kita
Sebelum ini pun telah tular, mengenai kenapa silibus bahasa Melayu di SK dan SJKC berbeza.
Kebanyakan ultra kiasu tidak dapat menerima silibus bahasa Melayu diseragamkan. Ini kerana, jika BM diseragamkan, maka ini akan menimbulkan kesukaran kepada murid-murid Cina. Mereka terpaksa memberikan tumpuan yang lebih kepada bahasa Melayu.
Akibatnya, penumpuan mereka terhadap bahasa Cina akan terjejas.
Pokok perbahasannya, tetap mengenai proses pencinaan. Ultra kiasu ini tidak mahu sama sekali proses pencinaan gagal di SJKC. Mereka tidak mahu anak-anak menjadi Cina pisang, tidak mahir berbahasa Cina kerana terlalu banyak menumpukan masa kepada bahasa Melayu.
Kepada ultra kiasu ini, bahasa Melayu jatuh nombor dua, bahasa Cina mesti menjadi nombor satu, meskipun bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan
Biarlah anak Cina ini tidak mahir atau pelat berbahasa Melayu, asalkan mereka mesti fasih dan pandai berbahasa Cina
Inilah cina-cina yang majoriti kita telah lahirkan daripada dahulu sampai sekarang. Salah siapa? Sudah tentu salah kita. Kita terlalu berpolitik daripada mengutamakan pembinaan negara bangsa.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah