Berita Utama

UPUOnline dibuka mulai esok

Kos bayaran proses ditanggung KPT sepenuhnya

BANGI, 15 Rejab 1444H, Isnin – Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2023/2024 ke program asasi, sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline akan dibuka bermula 7 Februari hingga 28 Mac depan bagi Fasa Pertama dan 15 Mei hingga 12 Jun depan bagi Fasa Kedua.

Permohonan dibuka bagi kemasukan ke 20 Universiti Awam (UA), 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat Institusi Kemahiran Tinggi Awam (ILKA).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, permohonan terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf untuk semua program pengajian bagi permohonan Fasa Pertama manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan atau ujian dibuka bagi permohonan Fasa Kedua.

“Selaras dengan hasrat kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi, sukacita diumumkan bahawa kos sebanyak RM15 sebagai Bayaran Proses UPUOnline bagi mendapatkan Unik ID akan ditanggung sepenuhnya oleh KPT.

“Dijangkakan bahawa lebih 350,000 calon lepasan SPM dan STPM atau setaraf akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini yang akan membawa kepada implikasi kewangan sebanyak RM5.25 juta kepada kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPT memaklumkan, semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang tersebut bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

“Terdapat sebanyak 471 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,088 program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM atau setaraf oleh UA, politeknik, kolej komuniti dan ILKA seluruh negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button