Berita Utama

Pengurusan mayat pesakit COVID-19 di ibu negara teratur: KP NADMA

Tidak seperti dakwaan di media sosial yang menyatakan sebaliknya

KUALA LUMPUR, 28 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pengendalian mayat pesakit COVID-19 di sekitar ibu negara ketika ini adalah teratur dan terurus, tidak seperti dakwaan sesetengah pihak di media sosial yang menyatakan sebaliknya.

Beliau berkata Pusat Sehenti Sementara (Pusara), yang berfungsi menguruskan mayat pesakit COVID-19 Islam dan bukan Islam serta terletak berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) diwujudkan bagi memastikan perkara itu.

Aminuddin berkata terdapat lima kontena yang boleh memuatkan 225 mayat pada satu-satu masa di Pusara ketika ini diuruskan kira-kira 70 petugas dan sukarelawan.

“Dalam satu hari, kita boleh keluarkan dalam 50 mayat untuk diproses serta dituntut keluarga dan setiap hari, kita dapat memastikan bahawa data dapat dikumpul, mayat dapat diuruskan dengan lebih teratur serta bersepadu,” katanya selepas meninjau urusan pengebumian 18 jenazah pesakit COVID-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Lebuhraya KL-Karak, Taman Selaseh hari ini.

Beliau berkata Pusara, yang mula beroperasi pada akhir Julai lepas, merupakan inisiatif bersama pelbagai agensi seperti NADMA, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, HKL dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button