
ANKARA, 16 Rejab 1444H, Selasa – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari susulan gempa bumi dahsyat yang mencatat kemusnahan besar di negara itu.
“Disebabkan gempa bumi yang berlaku di negara kita pada 6 Februari, tempoh berkabung negara diisytiharkan selama tujuh hari.
“Bendera kami akan dikibarkan separuh tiang sehingga matahari terbenam pada Ahad 12 Februari di semua perwakilan negara kami dan negara asing,” katanya menerusi hantaran di Twitter.
Gempa bumi 7.8 awal pagi Isnin menggegarkan Kahramanmaras dan beberapa wilayah kejiranan termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis.
Gempa kedua yang dicetuskan oleh gempa pertama pula merekodkan 7.5 magnitud dan pusat gempanya adalah di daerah Elbistan di wilayah Kahramanmaras.
Kejadian itu berlaku jam 1.24 tengah hari (waktu tempatan), hanya beberapa jam selepas gempa bumi pertama.
Sekurang-kurangnya 2,921 orang terbunuh dan 14,483 yang lain cedera di 10 wilayah Turkiye akibat dua gempa bumi itu.
Manakala di Syria, angka korban kekal pada 1,444 menjadikan jumlah kematian keseluruhan seramai 4,365. – Agensi