Berita Utama

Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Kelantan, Terengganu

Hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan di seluruh Perlis

KUALA LUMPUR, 11 Jamadilakhir 1445H, Ahad – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula hari ini hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, amaran hujan sangat lebat berterusan di Kelantan melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Di Terengganu pula membabitkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

Dalam kenyataan sama, amaran hujan berterusan tahap buruk turut dikeluarkan di seluruh Perlis serta beberapa kawasan di Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling; Perak (Hulu Perak); Kelantan (Gua Musang); Terengganu (Kemaman) dan Pahang (Jerantut dan Kuantan), yang dijangka berlaku hingga esok.

MetMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramal berlaku hingga esok melibatkan kawasan Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; seluruh Pulau Pinang; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama serta Kuala Kangsar) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Lipis). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button