DAP tak perlu ajar UMNO kendali parti
UMNO-BN setuju kerjasama dengan PH tak bermakna berada bawah telunjuk DAP

BANGI, 16 Rejab 1444H, Selasa – Mohd Hafeez Che Mat mengingatkan Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin supaya tidak menjadi ‘batu api’ serta mencari publisiti murahan di dalam perkembangan mutakhir UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Saranan disuarakan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO itu susulan gesaan Chong yang mahu kepemimpinan BN menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua Ahli Parlimennya yang sebelum ini menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Mohd Hafeez berkata, sebarang cubaan pemimpin DAP untuk mencampuri urusan dalaman UMNO dan BN boleh mengundang kesan rantaian negatif yang tidak diingini.
Menurutnya, DAP juga tidak perlu mengajar UMNO cara untuk mengendalikan parti, sebaliknya fokus kepada usaha dalam memastikan kerajaan baharu mampu menamatkan kemelut yang sedang dihadapi rakyat akibat kelembapan ekonomi pasca COVID-19.
“Chong Zhemin tidak perlu menjadi api dalam sekam jika mahu menjaga kestabilan Kerajaan Perpaduan.
“Adalah sesuatu yang menjengkelkan apabila Chong Zhemin mengatakan bahawa beliau tiada niat untuk campur tangan urusan dalaman BN dan ingin mengelakkan tragedi Langkah Sheraton.
“Ingin diingatkan bahawa sebarang usaha atau langkah DAP dalam mencampuri urusan parti lain juga boleh menjejaskan jangka hayat Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat dan negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah yang diambil oleh UMNO dan BN menyertai kerajaan adalah untuk merendahkan suhu politik Malaysia.
Ia juga supaya kerajaan dapat dibentuk dengan stabil dan dapat memberi fokus kepada usaha pembaikan ekonomi negara.
“Akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, UMNO dan BN setuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan demi kepentingan rakyat.
“Namun perlu ditegaskan ini bukan bermakna UMNO dan BN berada di bawah telunjuk DAP. DAP jangan sesekali lupa akan hal ini,” tegasnya.
Katanya lagi, Ahli Parlimen Kampar itu patut menyokong pandangan Ketua Pemuda Sosialis DAP, Kelvin Yii Lee Wuen baru-baru ini yang melihat politik perpaduan secara progresif antara DAP dan UMNO, iaitu fokus dalam usaha menangani masalah rakyat terutamanya isu kos sara hidup.
“Jika isu ini dibiarkan berterusan, rakyat pastinya kecewa dan bosan melihat ketidakstabilan kepimpinan kerajaan yang tak sudah.
“Saya mohon pemimpin DAP selepas ini lebih berhemat dan berhati-hati di dalam berbicara,” katanya.