Berita Utama

Gempa bumi: BERJASA laksana inisiatif bantuan untuk Turkiye-Syria

Bantu mangsa gempa pada fasa menyelamat, pemulihan

BANGI, 16 Rejab 1444H, Selasa – BERJASA akan melaksanakan inisiatif bantuan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) untuk mangsa gempa bumi dahsyat di Turkiye dan Syria.

Presidennya, Haji Zamani Ibrahim dalam kenyataan berkata, inisiatif itu dilancarkan bagi membantu mangsa bencana pada fasa menyelamat ketika ini dan fasa pemulihan nanti.

“BERJASA merakamkan ucapan takziah dengan hati yang amat berat dan sedih atas bencana gempa bumi yang kuat bermagnitud 7.8 yang berpusat di selatan Turkiye, dan memberi kesan kepada beberapa buah negara sekitar terutamanya Turkiye dan Syria.

“BERJASA amat bersimpati dengan bencana ini dan seluruh warga BERJASA mendoakan supaya mangsa-mangsa yang terkesan diberi kekuatan oleh Allah untuk berhadapan dengan musibah ini, dan mendoakan agar kerja-kerja menyelamat yang sedang dijalankan akan berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya.

Dalam kenyataan sama, BERJASA turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia yang menghantar Pasukan Bantuan dan Menyelamat Bencana Malaysia Khas (SMART) ke Turkiye dengan segera untuk membantu kerja-kerja menyelamat.

“… dan (BERJASA) mengharapkan lebih banyak bantuan yang akan disalurkan bagi membantu mangsa-mangsa di sana,” katanya.

Terdahulu, seramai 75 anggota pasukan elit SMART terbabit dalam misi menyelamat yang terdiri daripada pasukan perubatan dari Kor Perubatan Diraja, Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pasukan khas bahan kimia berbahaya.

Menerusi perkembangan terkini bencana itu, angka korban gempa bumi di Turkiye dan Syria dilaporkan lebih 4,300 orang dengan lebih 15,000 yang lain cedera.

Gegaran itu turut mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, bangunan dan kediaman di wilayah-wilayah terkesan seperti Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adiyaman, Diyarbakir, Adana, Kilis serta Sanliurfa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button