KP Kesihatan tak setuju cadangan wujud ‘Farmasi Rahmah’
Harga ubat di fasiliti kesihatan kerajaan rendah sejak sekian lama

BANGI, 16 Rejab 1444H, Selasa – Produk perubatan dengan harga yang rendah boleh didapati di klinik dan hospital kerajaan tanpa perlu mewujudkan ‘Farmasi Rahmah’.
Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham melihat tiada keperluan untuk melaksanakan cadangan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) supaya memperluaskan konsep ‘Menu Rahmah’ kepada ubat-ubatan.
Beliau berkata, produk perubatan dengan harga yang rendah sudah dilaksanakan sejak sekian lama di fasiliti kesihatan kerajaan.
“Tidak perlu samakan makanan dengan ubat-ubatan. Sehingga kini rakyat hanya perlu membayar RM1 untuk mendapatkan rawatan dan ubat di klinik kesihatan kerajaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian (BH), hari ini.
Sebelum ini, Presiden MPS, Amrahi Buang mencadangkan kepada kerajaan supaya konsep Menu Rahmah diperluas kepada ubat-ubatan bagi membantu rakyat memperoleh produk berkenaan pada harga lebih rendah.
Amrahi berkata, peningkatan harga ubat-ubatan itu tidak dapat dihalang atau ditentukan pihaknya kerana ia berdasarkan penerimaan pembekal serta farmasi komuniti terbabit.