Berita Utama

PAS gerak misi kemanusiaan bantu mangsa gempa bumi Turkiye

Hadi Awang rakam takziah, mohon kedua negara dilindungi

BANGI, 16 Rejab 1444H, Selasa – PAS dalam usaha menggerakkan misi kemanusiaan untuk membantu mangsa gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye dan Syria.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, usaha itu sudah mula digerakkan melalui PasRelief yang merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu.

Beliau berkata, PasRelief akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menyelaras bantuan bencana gempa bumi dengan kadar segera.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Turkiye dan Syria yang diuji dengan kejadian gempa bumi terburuk dalam sejarah bencana alam di negara tersebut.

“Semoga Turkiye, Syria dan warga kedua-dua negara berkenaan dilindungi dan dirahmati Allah SWT,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Semalam, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan parti itu sedang melakukan persiapan untuk menggerakkan misi kemanusiaan ke Turkiye menerusi PasRelief.

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud telah meragut lebih 4,000 nyawa setakat ini dengan lebih 15,834 yang lain dilaporkan cedera.

Gegaran itu turut mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, bangunan dan kediaman di wilayah-wilayah terkesan seperti Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adiyaman, Diyarbakir, Adana, Kilis serta Sanliurfa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button