Berita Utama

Pemuda PAS bidas komen ‘Kabinet bayangan’ PN separuh masak

Tiada wakil bukan Melayu kerana tidak menang di Semenanjung

BANGI, 16 Rejab 1444H, Selasa – Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan komen seorang penganalisis politik mengenai barisan ‘Kabinet’ Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini sebagai kurang tepat.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, PN tidak menamakan ia ‘Kabinet bayangan’, sebaliknya Jawatankuasa Portfolio.

Ia berfungsi untuk memantau prestasi dan isu kementerian dalam kerajaan dan membawanya ke dalam perbahasan di Dewan Rakyat supaya tiada isu yang terlepas pandang, katanya.

“Jadi apabila dikatakan tiada wakil bukan Melayu, jawapannya ialah tiada wakil bukan Melayu yang menang atas tiket Perikatan Nasional di Semenanjung.

“Kebanyakannya yang menang atas tiket Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Dan perlu diingatkan bahawa Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Ali Anak Biju juga ada mengetuai Jawatankuasa Portfolio dan mereka berdua bukan Melayu. Atau yang dimaksudkan ‘bukan Melayu’ itu perlu berbangsa Cina atau India?,” soalnya.

Beliau turut menegaskan bahawa PN bukan kerajaan yang mempunyai kuasa melantik senator untuk memegang jawatan Kabinet dan ia perkara berbeza.

“Begitu jugalah jika dikatakan kurang penglibatan wanita dan wakil Sabah Sarawak, jawapannya ialah berapa ramaikah wanita yang menang atas tiket Perikatan Nasional dan berapa ramaikan wakil Sabah dan Sarawak yang menang atas tiket Perikatan Nasional? Belum ditolak lagi yang melompat dan diiktiraf oleh Speaker Dewan.

“Jadi, respon saya ialah bukan ‘Kabinet bayangan’ itu yang tidak cukup sifat dan separuh masak, tetapi komen penganalisis yang agak kurang tepat,” katanya.

Sebelum ini, Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ‘Kabinet bayangan’ oleh PN dilihat sebagai tidak cukup sifat dan separuh masak kerana tidak melibatkan wakil kaum bukan Melayu.

Pada masa sama, katanya, penglibatan wakil dari Sabah dan Sarawak disifatkan sangat kurang, selain hanya melantik tiga wanita menyertai barisan ‘Kabinet bayangan’ itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button