Dunia

Tiada kerosakan pada loji nuklear pertama Turkiye

Kerja pembinaan, pemasangan masih diteruskan

ANKARA, 16 Rejab 1444H, Selasa – Loji tenaga nuklear pertama di Turkiye – yang kini dalam fasa pembinaan di selatan negara itu – tidak mengalami kerosakan susulan gempa bumi pada Isnin.

Ketua projek syarikat Nuklear Akkuyu, Anastasia Zoteeva berkata, gegaran dirasai pada magnitud 3.0 di wilayah Mersin, di mana tempat kilang itu sedang dibina.

“Pakar kami tidak mengesan sebarang kerosakan pada bangunan, peralatan atau kren di lapangan.

“Kerja pembinaan dan pemasangan masih diteruskan,” katanya.

Menurut Zoteeva, unit pertahanan awam dan perlindungan kecemasan negeri sedang bekerjasama dengan unit kecemasan loji, selain bersedia menghantar peralatan serta kakitangan ke wilayah berkenaan.

Setakat ini, gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud telah meragut lebih 4,000 nyawa dengan lebih 15,834 yang lain dilaporkan cedera.

Gegaran itu turut mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, bangunan dan kediaman di wilayah-wilayah terkesan seperti Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adiyaman, Diyarbakir, Adana, Kilis serta Sanliurfa.

Untuk rekod, Akkuyu akan menjadi loji kuasa nuklear pertama di Turkiye – yang mempunyai kapasiti 4,800 megawatt dan empat reaktor – dijangka beroperasi pada akhir tahun ini.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button