Artikel Khas

Aminuddin kemuka 11 hujah bidas pihak nafi ancaman terhadap Melayu, Islam

Apa makna ada pemimpin Melayu tapi tak berani guna kuasa yang ada?

SETELAH beribu kali dijelaskan namun masih ada yang tak nampak betapa keadaan orang Melayu dan umat Islam sedang dan semakin terancam.

Sama ada mereka ini masih berada di alam mimpi atau sudah terpedaya dengan kedudukan yang perolehi atau memang terlalu bangap kerana mudah terpengaruh dengan propaganda pihak tertentu.

Kalau orang biasa saya tak hairan tetapi ini orang yang berjawatan dan berkelulusan PhD. Entah apalah yang menghinggap di kepala dan mata mereka sehingga begitu buta dalam menilai keadaan orang Melayu.

Mudah-mudah sahaja dimomokkan dan ‘dilencongkan’ ke arah naratif yang palsu mengenai hakikat terancamnya keadaan orang Melayu dan Islam, iaitu ke arah negatif sahaja. Seolah-olah ancaman terhadap orang Melayu adalah angkara marhaen berbangsa lain semata.

Padahal ancaman itu datang dalam pelbagai bentuk, dalang dan bidak caturnya; termasuk ahli politik, NGO, perundangan, tekanan antarabangsa dan sebagainya.

Tak mengapalah, di sini saya jelaskan sekali lagi kenapa kita kata kedudukan Melayu semakin terancam secara tuntas:-

1. Tanah Rizab Melayu

Kalau dahulu ada 50% dari tanah negara telah dirizabkan sebagai Tanah Rizab Melayu tetapi data kini menunjukkan ianya Cuma tinggal 12% sahaja. Ini belum masuk lagi ribuan hektar tanah kerajaan yang diceroboh tetapi tidak diambil tindakan, bukan baru tetapi dah berlaku puluhan tahun.

Malah, terlalu banyak kes pencabulan terhadap tanah-tanah Rizab Melayu. Sangatlah ketara dan terpampang di akhbar-akhbar. Tak nampakkah?

Apakah ini bukan satu bentuk ancaman?

2. Pegangan Ekonomi

Semua maklum keadaan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera yang jauh terkebelakang. Penguasaan Melayu dan Bumiputera hanya tinggal sekitar 9% berbanding sasaran 30% di bawah DEB.

Kini kita tidak langsung dengar wujudnya apa-apa initiatif khusus dan serius untuk mengangkat ekonomi Melayu.

Malah, ratifikasi perjanjian antarabangsa CPTPP baru-baru ini akan lagi meminggirkan lagi ekonomi orang Melayu khususnya perusahaan-perusahaan kecil.

Apakah ini bukan satu bentuk ancaman?

3. Pemilikan hartanah

Lihat sajalah di sekeliling kita, siapa yang memiliki hartanah terutama di bandar-bandar? Apakah orang Melayu?

Hampir 90% adalah milik bangsa lain dan malah sebahagian besarnya milik syarikat dan warga asing. Apa dasar kerajaan untuk memastikan berlaku penguasaan yang saksama di bandar?

Mana-mana rakyat Malaysia termasuk (dan khususnya) orang Melayu rata-ratanya memang tidak mampu memiliki hartanah di bandaraya utama negara dengan melambungnya harga.

Ada di sesetengah tempat, hanya warga asing sahaja mampu membelinya yang rata-rata taikun luar sebagai pelaburan. Dasar kerajaan hanya membolehkan rakyat (yang majoritinya Melayu) untuk bersempit-sempit di flat kos rendah dan kepadatan yang teramat tinggi.

Apakah ini bukan satu bentuk ancaman?

4. Kemiskinan tegar

Sekitar 60% orang Melayu yang berada di bandar berada pada kedudukan Miskin Tegar. Mereka hanya sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Majoriti B40 adalah terdiri dari majoriti besarnya orang Melayu dan Bumiputera.

Majoriti graduan yang menganggur adalah merupakan juga orang Melayu dan Bumiputera. Ditambah lagi iklan-iklan kerja ‘Mandarin speaker only’ yang bersepah-sepah, merumitkan lagi keadaan.

Apakah ini bukan satu bentuk ancaman?

5. Institusi Raja

apakah kita sudah lupa bagaimana tularnya video seorang aktivis parti politik telah membuat perancangan dengan kuncu-kuncunya untuk menghapuskan institusi Raja ini?

Apakah kita tidak sedar akan gerakan anti-monarki yang sedang bebas merosakkan masyarakat? Mereka ini bukan sahaja anti-monarki, tetapi rata-ratanya memang sentiasa memburuk-burukkan bangsa Melayu sekali dalam ucapan-ucapan mereka.

Apakah ini bukan satu bentuk ancaman?

6. Bahasa Melayu

Selepas lebih 60 tahun merdeka, kita masih menggunakan perlembagaan dalam Bahasa Inggeris, termasuk dalam segala proses undang-undang.

Jika ada usaha untuk menukarkannya kepada versi Bahasa Melayu maka segera mendapat tentangan dari pelbagai pihak dengan pelbagai tohmahan. Cuba bayangkan dokumen utama negara kita sendiri masih mengekalkan bahasa asing.

Cuba lihat tanda-tanda dan nama-nama jalan, cuba lihat Bahasa komunikasi baik dalam sektor kerajaan mahupun dan korpotrat malah penggunaan bahasa dalam parlimen juga dah bercampur baur.

Berapa ramai penduduk negara yang sudah tidak fasih berbahasa Melayu? Betapa ramainya yang alergik Bahasa Melayu? Yang enggan belajar Bahasa Melayu pun ada ramai.

Baru-baru ini, ramai pula pihak termasuk NGO-NGO yang membantah jika standard peperiksaan subjek Bahasa Melayu SJKC dinaikkan setara dengan sekolah kebangsaan.

Nak letak tulisan Jawi dalam buku pelajaran pun ditentang hebat dengan pelbagai hasutan yang Islamofobik, antaranya kononnya pegangan agama mereka terancam. Tidak pula dengar mereka ini bising mengenai ‘ancaman terhadap Melayu’ ini bising dalam isu ini dulu?

Malah, akta-akta mengenai bahasa kebangaan sudah tidak lagi men1
jadi asas untuk menentukan sistem pembelajaran negara. Sebaliknya sijil UEC kini pula diiktiraf (sudah banyak negeri yang iktiraf) yang akan lebih meminggirkan Bahasa Melayu dan sejarah negara (yang berteraskan kemelayuan).

Apakah ini bukan satu bentuk ancaman?

7. Perundangan

Mahkamah Syariah sehingga hari ini masih jauh lebih rendah dari mahkamah sivil. Sering keputusan mahkamah Syariah dipertikai ke peringkat sivil. Nak pinda akta 355 sahaja pun dah mendapat tentangan luar biasa, jangankan nak laksana hukum Islam sepenuhnya.

Apakah ini bukan satu bentuk ancaman?

8. Kebudayaan dan Sejarah

Hampir tidak ada mana-mana pihak yang berani memperjuang dan mempertahankan budaya Melayu. Identiti sebuah masyarakat Melayu telah lama hilang dan rakyat lebih merasa asing dengan kebudayaan Melayu.

Sejarah bangsa Melayu telah banyak diputarbelit sehingga orang Melayu tidak lagi merasa bangga dan ada jati diri yang kuat. Malah, itu pun banyak lagi yang ingin diputarbelit dan dipadam.

Lihatlah ketika Filem Mat Kilau ditayangkan dahulu. Betapa ramai pihak yang berduyun-duyun mahu memburuk-burukkan beliau dengan pelbagai naratif palsu seperti pengkhianat, pemberontak dan sebagainya. Entah apa pula cerita-cerita palsu mengenai hero-hero kita seperti Dato Bahaman dan sebagainya yang akan ada nanti.

Yang bertambah peliknya lagi, sambutan keagamaan dari negara luar seperti Bon Odori diberi publisiti dan sambutan yang luar biasa. Cuba bayangkan sebuah negara yang pernah menjajah dan membunuh ribuan penduduk negara kini dijulang. Bukan biasa-biasa yang dijulangnya; ritual kepercayaan nenek moyang mereka. Mana maruah kita?

Apakah ini bukan satu bentuk ancaman?

9. Pendidikan Islam

Tidakkah kita lupa, ada ahli-ahli dan aktivis politik yang kuat menyuarakan agar pembelajaran agama (Islam) dibuang dari universiti atas pelbagai alasan seperti membuang masa, toleransi dan sebagainya?

Kita juga tidak lupa, ada aktivis NGO yang mempertikai mengenai solat di sekolah satu ketika dahulu. Akhirnya, individu itu dilantik oleh kerajaan sebagai penasihat mengenai pendidikan. Apakah kita lupa?

Malah, pembelajaran mengenai Islam di IPT sudah tidak lagi menjadi elemen utama malah diganti dengan subjek etika dan kebudayaan umum. Jadi tak hairan kalau graduan-graduan nanti sudah tidak ada asas agama yang kuat.

Institusi-institusi Islam seperti JAKIM, pusat-pusat tahfiz dan sekolah-sekolah agama sering diserang dan dihina yang dikatakan hanya sekadar menghabiskan duit rakyat dan menghasilkan pelajar-pelajar yang ektremis agama.

Malah, memang sudah ada cadangan agar JAKIM dimansuhkan dulu. Apakah kita sudah lupa?

Apakah ini bukan satu bentuk ancaman?

10. Ideologi-ideologi songsang

Serangan doktrin Hak Asasi Manusia yang mempromosikan LGBT dan dakyah gender equality semakin diberi tempat.

Ratusan mereka pernah berarak di Dataran Merdeka pada satu ketika dahulu. Adakah ini tidak mengancam agama Islam dan norma orang Melayu? Apakah ini tidak akan menimbulkan bala’ dari Allah SWT?

Apakah kita lupa ada aktivis LGBT yang pernah dilantik ke dalam Kementerian Belia dan Sukan?

Malah, betapa ramainya aktivis LGBT yang bebas berkempen dan merekruit. Tiada segan silu dah pun.

Apakah ini bukan satu bentuk ancaman?

11. Sosial2

Kita pernah dilaporkan beberapa tahun lepas bahawa negara ada sekitar 500,000 anak luar nikah yang majoritinya adalah orang melayu. Itu yang dilapur dan maklumat lama, mungkin kini dah jauh bertambah.

Apakah ini tidak akan mengancam keadaan sosial orang Melayu dan umat Islam?

80% pengunjung pusat-pusat maksiat yang semakin bercambah adalah merupakan anak Melayu. Tetapi pusat-pusat maksiat tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan seolah-olah kerajaan tidak berdaya untuk membuat apa-apa.

Terlalu banyak perkara yang boleh saya senaraikan yang mengancam kedudukan Melayu dan agama Islam.

Cukuplah 11 perkara ini sahaja yang sempat saya tulis secara ringkas ini.

Betul, kita ada pemimpin Melayu tapi apa maknan3ya jika mereka sendiri tidak berani mengubah dan menggunakan kuasanya?

Benar, kita ada perlembagaan yang melindungi kedudukan Melayu dan Islam tetapi itu semua hanya helaian kertas yang sering kali dilanggari tanpa rasa bersalah pun.

Saya harap yang masih tak faham akan dapat turun padang dan lihat ke bawah untuk merasai hakikat sebenar orang Melayu.

Tiada apa di dunia ini tiada ancaman untuknya. Bodohlah jika hanya pejam mata dan berpura-pura semuanya ‘okey’ belaka.

Lihatlah dengan mata hati, bukan mata politik dan kedudukan.

Berhentilah menipu diri sendiri.

Haji Aminuddin Yahaya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button