
BANGI,17 Rejab 1444H, Rabu – PAS memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan mungkin diadakan antara Julai atau Ogos depan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan berkenaan akan dimuktamadkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
“Pada awal perbincangan kita di tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu dilakukan sekitar Mac.
“Namun mengambil kira beberapa isu berbangkit ia ditangguhkan berikutan Ramadan sudah dekat selain Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Secara peribadi saya berpendapat lebih baik tunggu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan habis tempoh iaitu 26 Jun dan ia dikira terbubar secara automatik,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.
Mengulas lanjut, ADUN Panchor itu menjelaskan perbincangan berkaitan PRN hanya dilakukan dengan tiga negeri namun tidak melibatkan pemimpin negeri Pakatan Harapan (PH).
Beliau bagaimanapun menjelaskan, PAS telah mengadakan perbincangan awal dengan Bersatu tetapi belum ada senarai calon kerana terlalu awal.
“Berdasarkan perbincangan awal kita mungkin menggunakan konsep Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Konsep PRU15 adalah kerusi dimenangi PAS dikekalkan kepada calon PAS, manakala kerusi yang dimenangi UMNO diberi kepada Bersatu,” katanya.