Berita Utama

‘Siasat juga akaun PH dan BN’

Siasatan mesti telus, jangan ikut telunjuk parti politik tertentu

BANGI,17 Rejab 1444H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat secara terbuka dakwaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berbelanja mewah ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, pihaknya memiliki banyak bukti berkait dakwaan berkenaan sehingga menimbulkan keraguan.

“SPRM perlu lakukan siasatan dengan telus dan jangan siasat ikut telunjuk parti politik tertentu.

“Seperti kita tahu baru-baru ini berlaku siasatan terhadap Bersatu sehingga akaunnya dibekukan berikutan dakwaan tidak berasas kononnya, kami menerima dana tak betul ketika PRU15.

“Jadi, kita minta SPRM jangan siasat akaun Bersatu, PAS dan Gerakan sahaja tetapi siasat juga akaun PH dan BN, jangan hanya dakwaan dan siasatan terpilih untuk penuhi selera politik tertentu hingga jadikan Bersatu mangsa politik kotor,” katanya.

Khairul mendakwa, pemimpin PH dan BN juga berbelanja besar sehingga mampu mengadakan papan tanda, memberikan cabutan bertuah kepada pengundi serta menggunakan helikopter sepanjang berkempen.

“Sedangkan, kita tahu syarat atau kelayakan bagi kerusi Parlimen seorang calon boleh berbelanja tidak lebih RM200,000,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul juga menggesa supaya SPRM menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anak sulungnya, Nurul Izzah yang dilaporkan tidak mengambil gaji bulanan dengan tugas yang dilakukan.

Perkara berkenaan katanya, menimbulkan persoalan bagaimana kedua-dua meneruskan kehidupan sekiranya tidak mendapat gaji atau menerima dana lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button