Berita UtamaDunia

Lapangan terbang Afghanistan sesak kerana khabar angin palsu

Beberapa cedera pihak berkuasa terpaksa lepaskan tembakan

KABUL,18 Rejab 1444H, Khamis – Lapangan Terbang Kabul sesak berikutan khabar angin mendakwa Kedutaan Turkiye di Afghanistan akan membawa rakyat negara itu bagi membantu operasi menyelamat mangsa gempa bumi.

Situasi itu menyebabkan kawasan lapangan terbang menjadi tumpuan penduduk, sehingga memaksa pemerintah Taliban melepaskan tembakan bagi meredakan keadaan.

Tindakan pihak berkuasa itu menyebabkan beberapa orang dilaporkan cedera.

“Keadaan menjadi huru-hara dan kedengaran bunyi ramai yang menjerit di kawasan yang sesak,” kata seorang penduduk yang tinggal berhampiran kawasan lapangan terbang berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Menteri Luar Taliban, Zia Ahmad Takal menafikan khabar angin tersebar yang menyatakan Turkiye merancang membawa rakyat Afghanistan ke Turkiye bagi membantu kerja-kerja menyelamat mangsa.

Seorang pegawai Taliban kemudian memuat naik video di Twitter menunjukkan keadaan di lapangan terbang kembali normal dan orang ramai mula bersurai.

Isnin lalu, gempa bumi sekuat 7.8 pada skala Ritcher menggegarkan Turkiye dan mengorbankan lebih 12,000 penduduk Syria-Turkiye, di mana angka kematian dijangka terus meningkat.

Malah, sumber daripada persatuan rakyat Afghanistan yang menetap di Turkiye mengesahkan sekurang-kurang 100 penduduk Afghanistan terkorban dalam tragedi berkenaan.

Terdahulu, Menteri Luar Taliban dalam kenyataan mengumumkan 15 juta rakyat Afghanistan bersedia untuk terlibat membantu misi operasi mencari dan menyelamat mangsa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button