Polis siasat dakwaan penyelewengan wang zakat MAINS
Orang ramai ada maklumat boleh tampil bantu siasatan

BANGI, 18 Rejab 1444H, Khamis – Polis mengesahkan membuka kertas siasatan dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil salurkannya kepada polis untuk siasatan lanjut.
“Boleh salurkan maklumat melalui hotline Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan di talian 06-761 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat yang melibatkan jutaan ringgit.
Pihak terbabit mendakwa, SPRM telah menerima maklumat berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada sesiapa yang ditahan dan dipercayai disebabkan kerajaan Negeri Sembilan dan orang politik cuba melindungi apa sebenarnya yang berlaku.
Bagaimanapun, Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Ab Kadir menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial terbabit susulan tohmahan dan fitnah yang disebarkan pada tahun 2019.
Abdul Aziz turut menyifatkan dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab dibuat berikutan mempunyai kepentingan peribadi.