Berita Utama

Visa ketibaan boleh mudaratkan kedaulatan negara

Patut perketat SOP kemasukan warga asing bukan fikir pulangan ekonomi

BANGI, 18 Rejab 1444H, Khamis – Langkah kerajaan mencadangkan visa ketibaan kepada semua negara supaya kekal kompetitif dalam pasaran pelancongan global, dilihat tidak wajar dan boleh memudaratkan kedaulatan negara.

Ini kerana, rekod rasmi sebelum ini pernah menunjukkan ramai pelancong yang masuk melalui visa ketibaan tidak pulang semula ke negaranya.

Atas sebab itu, Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad menggesa kerajaan supaya tidak hanya memikirkan pulangan ekonomi dari sudut pelancongan semata-mata, sebaliknya memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan warga asing terlebih dahulu.

“Saya rasa berbahaya dan boleh datangkan mudarat besar kepada negara, jangan fikir ekonomi tapi melihat secara meluas kerana kemasukan pelancong asing yang tiada rekod keluar.

“Jabatan Audit Negara lakukan audit dan 95 peratus (pelancong) dari China tiada rekod keluar dan ini isu belum selesai, bagaimana menteri ringankan lagi SOP kemasukan,” katanya dipetik daripada TV Pertiwi, hari ini.

Beliau berkata, kewujudan sindiket kad pengenalan seperti yang berjaya dibongkarkan sebelum ini juga dibimbangi menyebabkan masalah kebanjiran warga asing semakin serius, selain menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.

“Kita juga merekodkan jutaan kad pengenalan yang hilang, kenapa kita tidak ambil langkah lebih serius mengelakkan penjualan dan pembelian kad pengenalan warga asing dan kita biarkan warga asing masuk atas nama pelancongan kononnya.

“Ini masalah bertahun-tahun, saya rasa ia langkah tidak wajar dan perketat kemasukan jangan fikir pulangan politik serta politik, tetapi kedaulatan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button