Aminuddin seolah ‘lepas tangan’ isu seleweng wang zakat MAINS
Pihak terlibat patut beri penjelasan, bukan dakwa fitnah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
SEREMBAN, 19 Rejab 1444H, Jumaat – Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan kesal dengan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dilihat bersikap ‘lepas tangan’ berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd.
Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard menyifatkan, kenyataan Aminuddin bahawa beliau tidak lagi berada dalam MAINS adalah tidak wajar, memandangkan Ahli Parlimen Port Dickson itu menerima gaji sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam.
“Perkara ini dia gagal pantau. MAINS ataupun urusan zakat di Negeri Sembilan adalah di bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Apabila (ada) kelemahan seperti ini, saya nampak ia satu penderhakaan kerana dia gagal menjalankan tanggungjawab angkat sumpah sebagai exco agama di depan baginda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Chegu Bard menegaskan, pihak terlibat perlu memberi penjelasan dan bertanggungjawab berhubung isu ini dan bukannya mendakwa ia fitnah.
“Seluruh Negeri Sembilan rakyat masih susah. Banyak orang Islam khususnya memerlukan bantuan zakat. Tetapi malangnya duit zakat dipermainkan sebegini rupa,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menanti-nantikan penjelasan daripada Menteri Besar berhubung isu ini.
“Kita sangat menantikan jawapan daripada Menteri Besar. Saya merasakan inilah masalah kerana kita ada Menteri Besar yang paling lemah dalam sejarah Negeri Sembilan,” katanya.
Sebelum ini, SPRM Negeri Sembilan mengesahkan tiada sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah didapati pihaknya berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS Zakat Sdn Bhd.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tersebut pada 2019.
Menurutnya, siasatan terhadap isu itu juga telah selesai dijalankan pada tahun sama dan berharap mana-mana pihak menghentikan sebarang spekulasi serta menyebarkan berita-berita palsu berhubung perkara berkenaan sebagaimana disiarkan dalam sebuah akaun Telegram baru-baru ini.