BERJASA lancar bantuan kecemasan gempa bumi Turkiye-Syria
Sumbangan serendah RM10 meliputi kotak makanan, pemanas dan khemah

BANGI, 19 Rejab 1444H, Jumaat – Prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat Turkiye dan Syria, BERJASA melancarkan kutipan bantuan kecemasan gempa bumi untuk disalurkan kepada mangsa di kedua-dua negara berkenaan.
Bantuan kecemasan itu meliputi makanan panas, bantuan klinikal, kotak makanan, pemanas dan kerosin serta khemah.
Menerusi hantaran di Facebook, BERJASA menyifatkan kejadian gempa bumi yang berlaku di Turkiye dan Syria adalah antara yang terburuk dan berbahaya.
“Gempa bumi yang berskala 7.8 richter telah mengorbankan ribuan mangsa dan kemungkinan bilangan mangsa meningkat berikutan berlakunya gegaran susulan,” katanya.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang ingin membantu boleh memberi sumbangan menerusi pautan https://bit.ly/bantuanturkiyesyria dengan jumlah minimum serendah RM10, RM30, RM50 sehingga RM100.
Setakat hari ini, jumlah kematian akibat gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye dan Syria pada Isnin lalu, sudah melepasi 21,500 orang.
Menurut pegawai Turkiye, sekurang-kurangnya 18,342 orang terbunuh di negara itu manakala di Syria kira-kira 3,377 orang dikenalpasti meninggal dunia.