Berita Utama

Kerajaan rancang beli dua lagi kapal selam

Mantapkan keupayaan TLDM hadapi dimensi peperangan alaf baru

KOTA KINABALU, 19 Rejab 1444H, Jumaat – Kerajaan merancang memperoleh dua lagi kapal selam di bawah Pelan Transformasi 15-to-5 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kapal selam baharu ini penting untuk keselamatan maritim negara.

Kapal selam adalah aset strategik yang meningkatkan keupayaan armada laut selaras strategi perlindungan maritim untuk menangani isu serantau dan global, khususnya mengenai Laut China Selatan.

“Melalui Pelan Transformasi TLDM 15 to 5, TLDM merancang untuk memperolehi sebuah lagi kapal selam dalam Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) 2031–2035 manakala sebuah lagi dalam RMK-15, 2036–2040.

“Perancangan jangka masa panjang permodenan Armada TLDM ini termasuk perolehan kapal-kapal permukaan lain sesungguhnya akan memantapkan lagi keupayaan TLDM dalam menghadapi dimensi peperangan alaf baru,” katanya.

Beliau menjelaskan, tentera laut telah menjadualkan pemerolehan kumpulan kedua kapal misi pesisir di bawah RMK-12 dan kini sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan.

“Tentera laut juga akan mempertingkatkan lagi keupayaan operasi pangkalan KD Sri Sandakan dan KD Sri Tawau dari segi infrastruktur, aset dan peralatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan di laut Sulu dan Sulawesi,” katanya.

Tambahnya, pembangunan pangkalan Wilayah 4 di Bintulu, Sarawak kini dalam pertimbangan kerajaan.

“Pangkalan itu penting untuk mengendalikan pencerobohan aset asing di perairan Sarawak.

“Tentera laut merancang untuk menempatkan tenaga kerja operasi dan kapal yang sesuai di pangkalan untuk meningkatkan pemantauan dan keselamatan di Laut China Selatan, selain menggagalkan pencerobohan,” katanya.

Beliau berkata, keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi, dan merupakan keutamaan utama agenda kementerian.

Pelan Armada Transformasi 15 to 5 bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, meningkatkan kesediaan dan mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan, dengan mengurangkan kelas kapal dalam perkhidmatan daripada 15 kepada lima.

Lima kelas ini termasuk kapal misi pesisir, kapal tempur pesisir, kapal sokongan pelbagai peranan, kapal peronda generasi baharu dan kapal selam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button