Berita Utama

Tambah kakitangan dulu, baru lanjut operasi klinik kesihatan

KKM patut peka 'toxic environment', masalah bawahan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Rejab 1444H, Jumaat – Rancangan Kementerian Kesihatan (KKM) melanjutkan tempoh operasi klinik kesihatan dilihat mendapat reaksi kurang memberangsangkan daripada orang ramai, meskipun usaha itu sebagai solusi kepada kesesakan hospital.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan KKM sedang mengenal pasti klinik kesihatan di seluruh negara, untuk diarahkan beroperasi secara lebih masa dalam usaha mengelak kesesakan hospital.

Beliau berkata, langkah itu boleh mengalihkan pelanggan atau pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik berkenaan dan bukan lagi di Jabatan Kecemasan Hospital (ED).

Bagaimanapun, cadangan itu ternyata tidak disambut baik ramai pihak, khususnya pekerja kesihatan memandangkan sektor berkenaan masih berdepan masalah kekurangan kakitangan.

Berikutan itu, rata-rata pengguna Facebook menyarankan KKM meneliti kembali cadangan berkenaan dan mempertimbangkan solusi lain supaya selari dengan isu yang sedang dihadapi kakitangan kesihatan.

Menurut pemilik akaun Facebook, Muhamad Syamil, cadangan melanjutkan tempoh operasi klinik kesihatan kerajaan perlu selari dengan penambahan jumlah kakitangan KKM.

“Nak buat extended hours perlulah selari dengan penambahan staf. Bukan gunakan staf sedia ada,” katanya.

Sariah Danial pula berkata, syor ini bukan sesuatu yang baharu dan pernah diutarakan kerajaan sebelum ini, namun masih belum mampu dilaksanakan sehingga kini kerana masalah kekurangan kakitangan.

“Benda ini dah dicadangkan dari kerajaan dulu lagi, kononnya tunggu masa yang sesuai untuk dilaksanakan. Walaupun sekadar cadangan, pelaksanaan masih belum wajar dilaksanakan sebab masalah  utamanya adalah man power,” katanya.

Pemilik akaun Abdul Azraie Abdul Aziz berkata, KKM sewajarnya perlu mengambil tahu masalah kakitangan, sebelum mewujudkan cadangan berkenaan.

“Masalah tak selesai macam mana nak wujudkan idea. Cari jalan untuk cepatkan proses pesakit menunggu. Bukan ‘extend’ masa.

“Bila audit semua nak buat yang terbaik. Tapi kalau bukan audit hancur. Cuba turun jadi pesakit tanpa escort polis atau wartawan. Duduk dekat bangku menunggu. Baru la tahu masalah,” katanya.

Senada dengan pandangan itu, Asyilah West meminta KKM peka dengan situasi semasa membabitkan keadaan persekitaran kakitangan termasuk kesihatan mental.

“Peka dengan staf yang semakin banyak meletak jawatan. Peka dengan ‘toxic environment’ di tempat kerja. Start from those on the ground. 

“Jangan tanya yang di pihak atasan. Yang nak disampaikan selalunya tak tersampai. Kerana hanya yang baik-baik disampaikan ke pihak atasan,” katanya.

Ketika ini, inisiatif pengoperasian ‘Klinik Extended Hour’ dilaksanakan di beberapa Klinik Kesihatan. Setakat ini, operasi Klinik Extended Hour tertumpu pada empat lokasi iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Johor.

Pada Januari lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan terdapat 4,914 kekosongan jawatan tetap akan ditawarkan tahun ini.

Menerusi iklan perjawatan KKM yang ditawarkan hingga 21 Januari lalu, kekosongan itu membabitkan 4,263 jawatan bagi pegawai perubatan, 355 bagi pegawai pergigian dan 316 bagi pegawai farmasi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button