Berita Utama

Kurang pekerja antara punca bekalan telur ayam terganggu

Kerajaan bincang dengan pengusaha lipat ganda pengeluaran sebelum Ramadan

SEREMBAN, 20 Rejab 1444H, Sabtu – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengatasi masalah kekurangan pekerja yang menjadi antara faktor kekurangan bekalan telur ayam menjelang bulan Ramadan ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia sedang berusaha untuk menambahkan pekerja dalam sektor pertanian dan sektor yang lain bagi tujuan itu.

“Kementerian sedang mengatasinya (masalah bekalan telur ayam), memang setiap kali menjelang perayaan, pengunaan telur ayam lebih tinggi, masalah kekurangan telur ini juga dihadapi negara lain.

“Kebimbangan tetap ada, masuk sahaja Ramadan, penggunaan telur dan bahan yang lain akan meningkat, sebab itu kita kena bincang dengan pihak pengusaha supaya melipat gandakan pengeluaran daripada sekarang, itu kita harapkan.

“Kalau mereka tidak cukup pekerja kita cuba (atasi) dengan memberi laluan mudah untuk menambahkan pekerja, masalah utama pengusaha selain kenaikan harga makanan adalah kekurangan pekerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media tempatan mengenai keluhan pengusaha kuih raya yang bimbang perniagaan mereka terjejas susulan kekurangan bekalan telur ayam menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan Malaysia akan terus menyokong dan bersuara dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Katanya, program tentang kesedaran memperjuangkan rakyat Palestin perlu diteruskan dan kini semakin banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara Eropah memberikan sokongan kepada rakyat Palestin.

“Ahli Parlimen di Eropah juga berani mengecam sikap kerajaan mereka yang terus membantu kerajaan Israel yang membunuh rakyat Palestin setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Penasihat ICPKL 2023 Dr Fauziah Mohd Hasan berkata 500 delegasi daripada 20 negara turut menyertai program hari ini yang bertemakan ‘The Caged Eye’, iaitu simbolik solidariti kepada penderitaan tahanan rakyat Palestin dikurung dalam penjara rejim Zionis.

Dr Fauziah berkata, 4,450 warga Palestin dipenjara oleh pihak rejim Zionis termasuk 160 kanak-kanak dan 32 wanita.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button