WHO hantar 72 tan metrik bantuan perubatan ke Turkiye-Syria
Bekalan pembedahan, trauma memanfaatkan 400,000 mangsa gempa

LONDON, 20 Rejab 1444H, Sabtu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar bekalan perubatan kepada kira-kira 400,000 mangsa yang terjejas akibat gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria.
WHO dalam kenyataan berkata, dua penerbangan bantuan kemanusiaan pertama telah membawa 72 tan metrik bekalan perubatan untuk 100,000 mangsa di kedua-dua negara.
Manakala, penerbangan ketiga membawa 37 tan metrik bekalan perubatan kecemasan untuk 300,000 lagi mangsa yang dijadualkan tiba di Syria pada Ahad, katanya.
“Sebagai tindak balas kepada gempa bumi dahsyat yang memberi kesan kepada Turkiye dan Syria, WHO menghantar 72 tan metrik bekalan pembedahan kecemasan dan trauma, termasuk rawatan kepada kedua-dua negara untuk menyokong usaha tindak balas berterusan,” katanya.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, mangsa yang terselamat kini berdepan suhu sejuk dan gegaran susulan berterusan menyebabkan akses yang terhad kepada tempat perlindungan, makanan, air serta rawatan perubatan.
“Kami berlumba dengan masa untuk menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.
Setakat hari keenam selepas kejadian, lebih 20,200 korban direkodkan dengan lebih 80,000 yang lain cedera selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud menggegarkan selatan Turkiye.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di wilayah Kahramanmaras itu telah menjejaskan kira-kira 13 juta orang di 10 wilayah Turkiye, termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye serta Sanliurfa.
Sementara di Syria, jumlah kematian turut meningkat melebihi 3,300 dengan lebih 5,200 yang lain cedera.- Agensi