Kenyataan berbaur perkauman: Wujud amalan pilih kasih
‘Jangan butakan mata kita untuk membuat penilaian’

BANGI, 21 Rejab 1444H, Ahad – Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan wujud amalan pilih kasih dalam negara berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh dua individu berbeza berkaitan perkauman.
Beliau berkata, perkara ini terbukti apabila pemain hoki wanita negara, Hanis Nadirah Onn dikenakan hukuman kerana didakwa mengeluarkan komen bersifat perkauman namun apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy berbuat perkara sama tidak pula dikenakan tindakan.
“Seorang atlet memberikan komen secara bergurau dicop rasis namun seorang Timbalan Ketua Menteri mengeluarkan kenyataan menggambarkan orang Melayu terlalu dominan dalam perkhidmatan awam tetapi masih berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri.
“Jangan butakan mata kita untuk membuat penilaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, pemain kebangsaan, Hanis Nadirah didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman di media sosial berhubung konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman di Stadium Nasional.
Hanis mengakui memuat naik ciapan komen ‘bau best la kat dalam tu’ berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert yang dimuatnaik oleh Kosmo Online.
Kenyataan tersebut menyebabkan atlet berusia 27 tahun itu digantung dan tidak dibenarkan mewakili negara pada Sukan Sea Kemboja 2023.
Manakala, Ramasamy pula dalam kenyataan kelmarin menggesa kerajaan Anwar melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.
Katanya, perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.
Ramasamy berkata, dasar perkauman sedemikian tidak lagi boleh dipertahankan terutama ketika kerajaan sekarang berada di tampuk kuasa.