CUEPACS terkilan Ramasamy tuduh perkhidmatan awam didominasi Melayu
Pengambilan kakitangan awam dibuat berasaskan merit, bukan kaum

BANGI, 21 Rejab 1444H, Ahad – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) menegaskan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan kuota seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, SPA selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam membuat pengambilan atau menaikkan pangkat seperti yang didakwa.
“Kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri.
“Permohonan pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama. Tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy yang meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam kerana mendakwa ia kini didominasi orang Melayu.
CUEPACS memandang serius kenyataan tersebut dan terkilan apabila wakil rakyat terbabit membuat kenyataan terbuka tanpa mendapatkan sebarang maklumat yang tepat daripada kerajaan mengenai situasi sebenar dalam perkhidmatan awam.
Beliau menjelaskan, ketika ini sambutan daripada kaum bukan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji rendah berbanding jika bekerja di sektor swasta, bidang lain atau berniaga.
Justeru, beliau berkata, adalah tidak wajar untuk menuduh perkhidmatan awam sebagai milik kaum tertentu jika wakil rakyat tidak bersama-sama dengan perkhidmatan awam untuk meningkatkan lagi pembangunan kerjaya dalam sektor awam ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.
“Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.
Beliau menegaskan, CUEPACS amat mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk memberi pandangan dan idea membangunkan lagi sektor perkhidmatan awam supaya semua kaum berminat untuk menyertainya.
“Namun, pandangan dan idea yang diberikan jangan sampai membuatkan ada yang terluka dan tersinggung kepada mereka yang sedang dan sudah berkhidmat kepada negara, ketika ini,” katanya.